KOTA BELUD: Lebih 3,000 peserta menyertai acara larian Go Green, Kadamaian Cross Country Challenge (KCCC) Trail Run sejauh 20km dan KCCC MTB XC sejauh 55km, di sini, kelmarin.
Acara itu diadakan sempena Pelancaran Program Kebersihan, Keceriaan, Keselamatan, Keharmonian dan Kesejahteraan (5K) Komuniti Kadamaian yang julung kalinya diadakan tahun ini.
Bagi kategori lelaki terbuka KCCC Trail Run, tempat pertama dimenangi pelari tempatan yang tidak asing lagi, Supirin Sumping, mengetepikan cabaran Saipul Mohamad dan Jemson Deikin yang masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.
Peserta larian lasak Ethal Delailah Sindih pula merangkul kejuaraan bagi kategori wanita terbuka manakala Sinapilin Sarawi memenangi tempat kedua dan Mailin Salungin di tempat ketiga.
Dalam acara yang sama, juara kategori lelaki veteran diungguli Ruston Masri menewaskan pelari gunung yang tidak asing lagi Guianus Salagan yang hanya berjaya menduduki tempat kedua dan Liman Sintam di tempat ketiga.
Seperti yang dijangkakan, pelari lasak terkenal Kona Liau memenangi kategori wanita veteran, menghampakan harapan Epang Serawi dan Liza Joseph yang masing-masing hanya menduduki tempat kedua dan ketiga.
Pelepasan peserta dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Ewon Benedick sempena pelancaran Program 5K Komuniti Kadamaian, di Padang Dudan Kampung Piasau.
Ewon berhasrat Program 5K Komuniti Kadamaian yang julung kalinya diadakan membabitkan 74 kampung itu dijadikan sebagai acara tahunan bagi kawasan Kadamaian.
“Kita berharap program ini dapat menekankan pembabitan penduduk desa dalam proses perancangan pembangunan untuk meningkatkan kesedaran ke arah kesejahteraan luar bandar,” katanya.
Setiausaha Pelaksana Program Boniface Jiran berkata, selain program pelancaran 5K dan acara larian dan berbasikal Kadamaian Cross Country Challenge (KCCC) MTB XC (55KM), turut diadakan larian Go Green Fun Ride dan Fun Run (29KM dan 8km) pada keesokan harinya.
“Larian ‘Go Green’ ini bertujuan untuk memperkasakan penyampaian mesej berkaitan kebersihan di Kadamaian. Seterusnya menyokong program 5K Komuniti Kadamaian.
“Saya berterima kasih kepada semua pihak terlibat menjayakan acara ini,” katanya.
Program anjuran bersama UPPM N7 Kadamaian dan Kelab Berbasikal (LOB) itu berlangsung selama dua hari (23 dan 24 Mac). Majlis penutupan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Isnaraissah Munirah Majilis, mewakili Ketua Menteri Sabah Datuk Mohd.Shafie Apdal.-pr/BNN