Kadamaian menerima peruntukan RM5.65 juta tiga bulan pertama 2019

0
120
Ewon menyampaikan ucapan di majlis itu

KOTA BELUD: Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedick berkata, kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian telah menerima peruntukan bernilai RM5.65 juta bagi tempoh tiga bulan pertama tahun 2019 untuk melaksanakan pelbagai projek pembangunan kecil di seluruh DUN Kadamaian.

Beliau berkata peruntukan itu adalah daripada peruntukan khas ADUN, peruntukan khas beliau selaku Menteri, peruntukan KPLB Sabah dan Persekutuan serta peruntukan khas Ketua Menteri untuk manfaat semua penduduk Kadamaian.

“Terdapat projek kecil yang sudah mulai dilaksanakan dan kelulusan-kelulusan serta proses perolehan bagi kebanyakan projek itu sedang diproses untuk dilaksanakan tahun ini. Jumlah ini yang kita perolehi melalui inisiatif saya selaku Wakil Rakyat Kadamaian.

“Saya pasti ada juga peruntukan lain yang diusahakan oleh Ahli Parlimen dan pelbagai kementerian lain yang tidak melalui saya tetapi akan dilaksanakan di DUN Kadamaian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Program Kebersihan, Keceriaan, Keselamatan, Keharmonian dan Kesejahteraan (5K) Komuniti Kadamaian, di Padang Dudan Kampung Piasau, di sini, kelmarin.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, selain peruntukan daripada Kerajaan, “saya juga telah menjemput banyak syarikat korporat seperti Perbadanan Pinjaman Sabah (PPS) dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) untuk melaksanakan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) mereka di kawasan DUN Kadamaian”.

“Saya maklum masa saya terhad di Kadamaian kerana menjalankan amanah besar di KPLB Sabah untuk memperjuang dan menguruskan isu-isu pembangunan luar bandar yang memerlukan saya melawat ke daerah-daerah di seluruh Sabah dan perlu menghadiri banyak mesyuarat dan perbincangan yang berkaitan.

“Tetapi saya tidak pernah abaikan tugas utama saya di kawasan iaitu menguruskan pembangunan DUN Kadamaian. Saya bertuah mempunyai pasukan UPPM dan Pejabat Perhubungan ADUN yang banyak membantu dan mewakili saya hadir ke jemputan pelbagai program dalam kawasan.

“Sebagai wakil rakyat di sini, saya memberi jaminan bahawa pembangunan Kadamaian akan terus menjadi keutamaan dan tanggungjawab saya,” katanya.

Ewon yakin dengan adanya sokongan padu dan kerjasama berterusan pihak kerajaan, syarikat-syarikat korporat dan NGO, lebih banyak pembangunan dapat diberikan untuk manfaat komuniti Kadamaian.

Beliau berkata, beliau juga telah meminta Institute Kajian Pembangunan Sabah (IDS) untuk menjalankan kajian Pelan Pembangunan Kadamaian bagi mengenalpasti keperluan, isu, cabaran dan halatuju pembangunan kawasan itu dalam tempoh 2020-2035.

“Saya telah menulis surat kepada IDS dan telah mengadakan perbincangan dengan pihak mereka. Saya berharap kajian ini dapat dimulakan dan dijangka memakan masa selama enam bulan.

“Sasaran saya adalah agar Pelan Pembangunan Kadamaian, 2020-2035 dapat dilancarkan awal tahun depan sebagai input rasmi kita kepada Kerajaan dalam penyediaan rancangan pembangunan dan bajet tahunan Kerajaan.

“Ini adalah sebahagian daripada pendekatan kita untuk menyusun dengan lebih rapi perancangan dan pengurusan pembangunan kawasan Kadamaian dalam tempoh 15 tahun,” katanya.

Ewon berkata: “Kita juga telah menubuhkan sebuah jawatankuasa ad-hoc yang dipanggil Majlis Perundingan Pembangunan Kadamaian yang saya jemput untuk memberi pandangan kepada IDS nanti. Demikian juga peranan Pejabat Daerah Kota Belud dan Pengerusi-Pengerusi MPKK dalam membantu kajian ini.”

Beliau turut menyeru semua pemimpin akar umbi kawasan Kadamaian termasuk Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Ketua Masyarakat dan Ketua Kampung terus bekerjasama untuk memajukan Kadamaian ke arah yang lebih baik.

Mengenai program itu, Ewon berkata, ia merupakan satu pertandingan melibatkan kesemua 74 buah MPKK di seluruh Kadamaian berdasarkan kepada kriteria-kriteria berasaskan kepada elemen kebersihan, keceriaan, keselamatan, keharmonian dan kesejahteraan di setiap kampung.

“Matlamat kita ialah agar komuniti Kadamaian mengamalkan pembudayaan elemen-elemen ini dalam kehidupan berkomuniti sepanjang masa. Kita mahu membentuk sebuah komuniti yang harmoni dan sejahtera, bersih dan ceria, sihat dan cergas, bebas dari jenayah dan ancaman keselamatan, serta bekerjasama dan bersatu-padu sebagai satu komuniti luar bandar.

“Ini juga penting selaras dengan pembangunan eko-pelancongan Kadamaian yang sedang berkembang. Kita mempunyai keindahan alam semulajadi di semua kampung yang menjadi tarikan pelancong, tetapi kalau kampung itu dirasakan tidak selamat kerana wujudnya unsur jenayah, ancaman keselamatan atau ketidakharmonian penduduk di kampung tersebut, sudah tentu para pelancong tidak akan datang berkunjung. Sebab itu, kita memperkenalkan program ini sebagai satu langkah pendidikan dan kesedaran komuniti betapa pentingnya pembudayaan kesemua elemen tersebut dalam komuniti,” tambah beliau.

Menurut Ewon, penilaian program dibuat selama setahun dan kampung pemenangnya akan mendapat hadiah berbentuk projek kecil bernilai RM100 ribu daripada peruntukan ADUN Kadamaian.

Turut hadir Penolong Pegawai Daerah Kota Belud Peter Jiton, Pemimpin Pembangunan Masyarakat Saikom Watis dan wakil OCPD Kota Belud ASP Tan Guan Chai.-pr/BNN