KOTA BELUD: Masyarakat setempat diminta untuk bersama-sama mensyukuri anugerah kemakmuran dan kebebasan beragama serta limpahan ekonomi yang rakyat terima di negara ini khususnya negeri Sabah.
Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Usukan, Datuk Japlin Akim berkata kesediaan kerajaan untuk membantu rakyat membuktikan bahawa kebajikan rakyat khususnya di luar bandar, pinggir bandar dan dibandar tidak pernah dipersiakan.
Beliau menyeru supaya rakyat untuk sama-sama bekerja keras demi memastikan kemakmuran sedia ada berkekalan.
“Masjid juga berperanan sebagai wadah penyatuan di kalangan umat Islam sejagat. Melalui pendekatan sembahyang berjemaah dimasjid, sebenarnya dapat membentuk penyatuan yang membolehkan kita terdidik dengan sifat-sifat mulia seperti suka menghulur bantuan, menolong orang susah dan bekerjasama dalam melaksanakan sesuatu kerja,” katanya.
Beliau berkata demikan semasa Program Ihya Ramadhan dan Nuzul Al-Quran 2019 anjuran Badan Dakwah Kemas dengan kerjasama Kelab Pembangunan Desa dan Masjid Nurul Hasamah Kampung Kupang Kota Belud semalam. Hadir sama Pengerusi Masjid Nurul Hasamah Kampung Kupang Kota Belud, Haji Jekilan dan peserta Tadarus Al Quran .
Dalam majlis itu Japlin turut menyumbang tika sejadah untuk kegunaan para jemaah Masjid Nurul Hasanah Kampung Kupang dan penyerahan bantuan zakat kepada 10 orang asnaf dari Kampung Kulambai Kupang Kota Belud. Setiap asnaf menerima RM200 seorang.
Menurutnya, biarpun jumlah yang itu tidak sebesar mana namun ia dilihat sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban mereka yang kurang berkemampuan untuk berbelanja di bulan Ramadan.
“Ini juga membuktikan Pusat Zakat Sabah sangat prihatin terhadap golongan yang kurang bernasib baik, apatah lagi ketika mereka menjalani ibadat puasa. Walaupun sumbangan ini kecil tetapi ia memberi makna besar kerana ia dapat meringankan beban mereka berbelanja seamsa dalam bulan ramadan ini.
“Sumbangan pada bulan ini lebih istimewa di samping membantu golongan yang memerlukan ia sekali gus memberi kegembiraan kepada mereka untuk membuat persiapan menyambut Syawal,” katanya.
Tambahnya, masyarakat juga perlu bersyukur dan berasa untung kerana menyambut bulan mulia umat Islam dalam keadaan aman dan damai berbanding negara-negara lain yang bergolak.
Jelas Japlin melalui program ini, pemimpin boleh mendekati masyarakat setempat, menyalurkan sumbangan dan bantuan kepada individu memerlukan. Pendekatan mesra rakyat seumpama ini diharap dapat mendekatkan kerajaan dengan rakyat.
Beliau turut serta berbuka puasa serta solat Maghrib, solat Isyak dan Solat Sunat Terawih berjemaah dengan masyarakat di situ.-pr/BNN