‘Street Sungkai’ eratkan perpaduan, rapatkan silaturahim masyarakat bersama pemimpin

0
Mohd.Ghazali (tiga dari kanan) bersama Hajiji (tiga dari kiri), Haji Mohd. Yusrie Abdullah (dua dari kiri), Mohd. Sofian (kiri), Abd.Kassim (dua dari kanan) pada Program "Street Sungkai".

TUARAN:  Program ‘Street Sungkai’ mampu mengeratkan perpaduan dan silaturahim diantara pemimpin dan masyarakat bagi bersama-sama mengimarahkan bulan Ramadan yang penuh keberkatan, kata Pengerusi Kelab Belia Pekan Tuaran (TYTC), Encik Mohd. Ghazali Datuk Seri Panglima Haji Hajiji.

Katanya, perpaduan dan silatulrahim amat penting, memandangkan masyarakat kini telah dihujani dengan pelbagai persepsi yang datang dari luar mengenai kehidupan.

“Meskipun kita mempunyai ideologi,kepercayaan dan agama yang berlainan, namun perpaduan dan silaturrahim sesama kita haruslah sentiasa dipelihara.

“Street Sungkai merupakan program yang bertujuan merapatkan ukhwah, mewujudkan semangat kekeluargaan dalam kalangan kita semua. Saya berharap program sedemikian dapat dijadikan sebagai program tahunan bagi kita semua”, katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Street Sungkai di perkarangan Pusat Ekonomi Sosial Anak Tuaran (PESAT), semalam.

Program itu turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yang juga Ketua Penyelaras Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah, Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS), Haji  Mohd. Yusrie Abdullah, Pegawai Daerah Tuaran, Encik Mohd. Sofian Alfian Nair, Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Tuaran, Encik Jackley Gielbert, Timbalan Ketua Penaja BERSATU Bahagian Tuaran,  Encik Abdul Kassim Razali dan  Ketua Penaja Srikandi BERSATU Bahagian Tuaran, Puan Jamaliah Antalip.

Hadir sama ialah Pengerusi Skuad AADK Tuaran, Encik Muhd. Zaineh Haji Jali, Pegawai KBSS Tuaran, Encik Baxter Jilan, Pegawai Belia dan Sukan (P) daerah Tuaran, Encik Hamzah Md. Tahir, Naib Presiden Majlis Belia Sabah, Encik Kelvin Lo, pemimpin-pemimpin masyarakat, pengerusi-pengerusi persatuan belia dan sukan di daerah Tuaran.

Mohd Ghazali yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Program Street Sungkai berkata, dalam menjalankan ibadat puasa, masyarakat Islam wajar memikir tentang kepahitan sebahagian daripada masyarakat  yang kurang bernasib baik dan mencari rezeki untuk menampung kos sara hidup.

“Sememangnya negara kita telah mencapai kemajuan dalam pembangunan, namun di celah-celah pertumbuhan ekonomi yang pesat,  terdapat segelintir golongan miskin yang masih hidup ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

“Di celah-celah proses urbanisasi dan perbandaran kawasan kampung yang berkembang maju, terdapat juga segelintir rakyat yang hidup sebagai gelandangan. Dalam kita menuju negara berpendapatan tinggi, terdapat juga golongan miskin dan daif serta orang tua yang bergantung pada bantuan dan perkhidmatan yang disediakan oleh Kerajaan”, tambahnya.

Melihat kepada situasi itu, beliau berharap masyarakat negeri ini agar sentiasa bersyukur atas segala limpah rezeki yang diterima.

“Sentiasalah bersyukur dan mengamalkan sifat kesederhanaan dalam kehidupan. Jika ada kelebihan, tidak salah untuk kita membantu mereka yang memerlukan.

“Memang tidak dinafikan rakyat Malaysia adalah amat pemurah (generous) dan sentiasa bersedia untuk membantu orang yang daif dan kurang bernasib baik dengan menghulurkan derma dan sumbangan kewangan dan barangan.

“Ada pepatah english, ‘Help other, even when they can’t help you back’. Bantulah tanpa mengharap sebarang balasan, beramallah tanpa mengharap pujian, biarlah Tuhan yang Maha Esa sahaja membalas segala budi baik yang kita lakukan”, katanya yang juga Ketua Penaja Armada BERSATU Bahagian Tuaran.

Program Street Sungkai yang bersifat santai dan berbuka puasa secara “Potluck” itu dihadiri oleh sekitar 200 masyarakat berbilang kaum.

Program itu adalah cetusan idea TYTC dan mendapat sokongan dan kerjasama dari Skuad AADK Tuaran, Majlis Belia Sabah, Kementerian Belia dan Sukan Sabah Daerah Tuaran, Pejabat Belia dan Sukan (P) Daerah Tuaran dan Persatuan Kabau Gawa, Armada dan Srikandi BERSATU Bahagian Tuaran, Tuaran Atheletic dan beberapa badan serta pertubuhan lain.

Antara pengisian program itu ialah persembahan lagu-lagu dakwah dan  penyampaian sumbangan kepada golongan yang memerlukan terutama pengidap penyakit kronik oleh Haji  Mohd. Yusrie Abdullah.

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan Sabah, Encik Phoong Jin Zhe dalam lawatan singkatnya turut meninjau Program Street Sungkai dan beramah mesra bersama para peserta dan pemimpin belia daerah itu.

Beliau telah melawat rumah PESAT dan mendengar taklimat ringkas latar belakang pembinaan PESAT serta taklimat dari Kelab Taekwondo MBV Tuaran dan Kelab Olahraga TA, Tuaran.-pr/BNN