Eratkan perpaduan dalam Ramadan

0
358
Kenangan....Mizma bergambar kenangan bersama penerima sumbangan.
Sumbangan untuk golongan asnaf.

LAHAD DATU: Masyarat diminta perlu komited memperkukuhkan kemakmuran dan keamanan negara tanpa wujud ruang perpecahan yang boleh dieksploitasi golongan yang cuba mengambil kesempatan menghancurkan negara.

Ketua Penaja Srikandi Bersatu Silam. Mizma Appehdullah berkata keamanan yang dinikmati rakyat daripada pelbagai etnik dan fahaman agama bukannya datang secara bergolek, tetapi hasil kebijaksanaan pemimpin menerajui negara.

Beliau turut meminta rakyat harus menerima kenyataan bahawa melalui keamanan dan kemakmuran sekarang, semua program seperti sambutan hari raya dapat disambut dengan aman tanpa rasa bimbang.

“Setiap pemimpin dan rakyat dapat bersalam-salaman serta beramah mesra tanpa rasa bimbang serangan atau gangguan pihak tertentu seperti yang berlaku di negara luar,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa penyerahan sumbangan kepada golongan asnaf  di Kg. Manau Lahad Datu semalam.

Menurut beliau usaha membantu golongan kurang bernasib baik tidak harus terbatas kepada kaum tertentu sahaja.

“Terdapat golongan yang kurang bernasib baik daripada kaum lain di negara ini yang juga perlu dibantu bagi meringankan beban mereka. Usaha membantu golongan yang kurang bernasib baik adalah perlu dan ia harus dilaksanakan secara berterusan dalam memastikan keperluan mereka ini dapat dipenuhi,’’ katanya.

Mizma turut menyeru penglibatan syarikat korporat dan swasta dalam membantu golongan kurang berkemampuan untuk meringankan beban mereka khususnya mereka yang mengalami kehidupan yang sukar.

“Saya menyeru pihak swasta agar lebih ramai yang tampil menghulurkan bantuan kepada golongan fakir miskin kerana mereka amat memerlukan bantuan itu.

“Pada masa yang sama, amalan membayar zakat perlu diberi perhatian supaya golongan yang memerlukan bantuan itu dapat menerimanya dengan sempurna,” katanya.-pr/BNN