KOTA KINABALU: Pengurusan lapangan terbang di seluruh negara perlu mempertingkatkan aspek keselamatan dan penyelenggaraan kemudahan awam bagi mengelakkan kejadian kemalangan akibat lantai licin, kata Presiden Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor (PKMB), Haji Yazid Haji Mohd. Hasnan Tawik @ Charles.
Beliau berkata, kejadian Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar, mengalami kecederaan di kepala selepas tergelincir di tandas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pagi tadi, perlu dijadikan peringatan kepada pihak pengurusan lapangan terbang.
Yazid berkata, aspek keselamatan, kebersihan dan penyelenggaraan kemudahan awam perlu diberikan perhatian serius, terutama kawasan yang kerap digunakan orang ramai bagi mengelakkan risiko kemalangan.
“Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku sekiranya aspek keselamatan, kebersihan dan penyelenggaraan kemudahan sentiasa diberikan perhatian serius. Lantai tandas yang licin, khususnya di kawasan yang sering digunakan orang ramai, perlu dipantau dan ditangani dengan langkah pencegahan yang sewajarnya,” katanya.
Beliau turut menegaskan kemudahan keselamatan tidak seharusnya dibezakan antara tandas VIP dengan tandas awam, sebaliknya semua pengguna berhak menikmati kemudahan lapangan terbang yang selamat tanpa mengira kedudukan, pangkat atau latar belakang.
Sehubungan itu, beliau menggesa Malaysia Airports dan pengurusan lapangan terbang memastikan pemeriksaan berkala terhadap lantai tandas serta laluan pejalan kaki dilakukan, selain menggunakan bahan ant gelincir dan memastikan sistem saliran air berfungsi dengan baik.
Katanya, papan tanda amaran perlu diletakkan dengan jelas ketika lantai basah atau sedang dibersihkan, manakala jadual pembersihan dan pemantauan tandas perlu dilaksanakan secara konsisten.
Yazid turut mencadangkan laluan kecemasan dipastikan mudah diakses, bantuan perubatan dipercepatkan sekiranya berlaku kemalangan serta kakitangan lapangan terbang diberikan latihan asas pengendalian kecemasan bagi membolehkan bantuan awal disampaikan dengan berkesan.
“Kita tidak mahu menunggu sehingga berlaku kecederaan yang lebih serius atau kehilangan nyawa sebelum langkah penambahbaikan diambil. Keselamatan pengguna mesti menjadi keutamaan dan sebahagian daripada standard pengurusan setiap lapangan terbang,” katanya.
Beliau turut berharap kejadian itu menjadi iktibar kepada semua pihak berkaitan untuk mempertingkatkan pemantauan, penyelenggaraan dan pencegahan risiko keselamatan, selain mendoakan Jamawi segera sembuh dan kembali sihat seperti sediakala.-pr/BNN





