KOTA KINABALU: Penangguhan sementara tindakan perobohan struktur kediaman tanpa kebenaran di Kampung Pondo, Pulau Gaya, bukan bermakna operasi penguatkuasaan itu dibatalkan, sebaliknya akan diteruskan selepas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) selesai.

Ketua Penerangan (Penaja) Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Bahagian Kinabatangan, Aksyah Haji Nasrah, berkata keputusan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, itu mencerminkan keprihatinan kerajaan negeri terhadap rayuan pelajar yang rumah keluarga mereka terbabit dalam tindakan perobohan berkenaan.

Beliau berkata, penangguhan sementara itu memberi ruang kepada pelajar terbabit menduduki peperiksaan SPM dengan lebih tenang tanpa mengetepikan keperluan penguatkuasaan undang-undang.

Menurutnya, keputusan berkenaan memperlihatkan keseimbangan antara ketegasan kerajaan dalam memastikan undang-undang dipatuhi dengan pertimbangan kemanusiaan, khususnya membabitkan masa depan pendidikan generasi muda.

“Penangguhan atas dasar ihsan ini bukan lesen untuk mengetepikan undang-undang. Tempoh yang panjang sudah diberikan dan kawasan berkenaan telah lama digazetkan sebagai kawasan peranginan, bukannya penempatan setinggan tanpa kawalan,” katanya menerusi hantaran di media sosial, hari ini.

Aksyah berkata, tindakan penguatkuasaan itu perlu dilihat dalam konteks perancangan pembangunan semula kawasan strategik di Pulau Gaya berdasarkan pewartaan asalnya.

Katanya, pembangunan sektor pelancongan dan peranginan secara terancang berpotensi membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan, selain merancakkan aktiviti ekonomi setempat.

Beliau berkata, manfaat berkenaan turut merangkumi peluang kepada peniaga kecil, pengusaha bot, pembekal tempatan dan sektor perkhidmatan sekitar Kota Kinabalu, selain berpotensi meningkatkan hasil negeri untuk membiayai pembangunan serta kebajikan rakyat.

Dalam pada itu, Aksyah turut membangkitkan persoalan mengenai langkah yang diambil kerajaan terdahulu ketika Warisan mentadbir Sabah, khususnya berhubung penyelesaian isu penempatan di kawasan berkenaan.

Beliau mempersoalkan mengapa isu itu tidak diselesaikan ketika parti berkenaan mempunyai kuasa pentadbiran, termasuk menyediakan penempatan baharu dan melaksanakan penguatkuasaan.

Aksyah berkata, penduduk yang terbabit sewajarnya mengambil maklum budi bicara kerajaan negeri dengan mematuhi arahan pihak berkuasa selepas peperiksaan SPM selesai.

Beliau menegaskan, penangguhan sementara itu tidak seharusnya disalahertikan sebagai kelemahan kerajaan, kerana pematuhan undang-undang dan kepentingan pembangunan jangka panjang Sabah tetap perlu diberi perhatian.-pr/BNN