KOTA KINABALU: Pertubuhan Komuniti Suluk Bajau Bersatu Malaysia (KSBM) merayu Kerajaan Wilayah Sabah dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menangguhkan sementara tindakan perobohan kediaman di Kampung Pondo, Pulau Gaya, yang dijadualkan pada 30 November ini bagi memberi ruang kepada pelajar menduduki peperiksaan SPM dan STPM.
Presidennya, Kapten (Dr) Zulfikar Zulkifli (B), berkata penangguhan itu wajar dipertimbangkan atas dasar kemanusiaan, khususnya bagi mengelakkan anak-anak penduduk terjejas daripada kehilangan tempat tinggal dan berdepan tekanan ketika tempoh peperiksaan.
Beliau berkata, isu penempatan di Kampung Pondo bukan perkara baharu, malah berlarutan sejak sekian lama dengan rekod tindakan penguatkuasaan sejak 2002.
Katanya, KSBM tidak menentang hak kerajaan melaksanakan pembangunan demi kepentingan rakyat, namun aspek kebajikan dan kemanusiaan penduduk yang terkesan perlu turut diberikan perhatian.
Kebimbangan utama pertubuhan itu ialah nasib pelajar yang sedang menduduki peperiksaan SPM 2026, dari 23 November hingga 17 Disember, serta STPM Semester 3 yang berlangsung pada 17 hingga 26 November ini.
Sehubungan itu, KSBM memohon tindakan perobohan ditangguhkan sekurang-kurangnya satu hingga dua bulan bagi membolehkan pelajar memberi tumpuan kepada peperiksaan tanpa dibebani tekanan kehilangan tempat tinggal dan ketidaktentuan keadaan keluarga.
Zulfikar berkata, tempoh peperiksaan itu penting dalam menentukan hala tuju pendidikan dan masa depan pelajar terbabit, justeru mereka perlu diberikan ruang dan ketenangan untuk memperoleh keputusan terbaik serta melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Beliau berkata, penangguhan sementara itu bukan bertujuan menghalang atau membatalkan perancangan pembangunan kerajaan, sebaliknya sebagai pertimbangan kemanusiaan bagi memastikan kebajikan penduduk, khususnya generasi muda, tidak terabai.
KSBM berharap rayuan itu mendapat perhatian dan pertimbangan sewajarnya daripada Kerajaan Wilayah Sabah dan DBKK bagi mencari penyelesaian yang mengambil kira kepentingan pembangunan, tanggungjawab undang-undang serta nilai kemanusiaan dan masa depan anak-anak Sabah.-pr/BNN





