BERSATU akan membina keyakinan rakyat

0
Razali Razi Ketua Penaja BERSATU Bahagian Sepanggar

KOTA KINABALU: Sebagai sebuah parti baharu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU)  Sabah akan berusaha sehabis baik untuk membina keyakinan rakyat.

Razali Razi Ketua Penaja BERSATU Bahagian Sepanggar dalam satu kenyataan akbar berkata, fokus mereka adalah memberikan perkhidmatan dan menjadi platform menyampaikan aspirasi rakyat.

Sekarang adalah masa berkhidmat sebaiknya dan rakyat  yang akan memilih siapa pemimpin yang mereka percaya boleh membantu mereka, katanya.

Menurut beliau, pendekatan turun padang mendekati rakyat menjadi teras BERSATU, bukan sekadar mengeluarkan kenyataan di media untuk meraih popular atau menjadi pejuang jadi-jadian di alam maya.

“Cabaran dan kenyataan Datuk Rahman Dahlan kepada pemimpin BERSATU tidak ada bezanya dengan nada sebahagian para pemimpin UMNO pada PRU14 yang lalu. Keterujaan dengan memiliki “kekuatan” luar biasa menjadikan mereka terlebih yakin untuk memenangi pilihan raya dengan majoriti dua pertiga,” katanya.

Jika Datuk Rahman seorang pemimpin yang terbaik untuk rakyat, tentu sekali tiada masalah untuk Datuk Rahman memenangi pilihanraya lepas dengan majoriti yang bergaya. Tetapi perkara tersebut tidak berlaku pada PRU14, katanya lagi.

“Oleh yang demikian, daripada mengungkit kemenangan pemimpin lain adalah lebih baik Datuk Rahman fokus untuk memperbaiki diri dan parti supaya dipilih rakyat dimana pun bertanding.”

““Kekuatan” luar biasa berintikan keyakinan tatap menang ini jugalah telah membawa parti mereka kurang mendapat sokongan akar umbi dan membawa kepada kekalahan di beberapa kawasan, walaupun mempunyai keahlian yang ramai,” kata Razali.

Menurutnya, hal ini ditambah lagi dengan kehadiran calon import, dan calon bangsawan golongan menganggap kerusi milik peribadi  yang secara tidak langsung membelakangi kredibiliti pemimpin tempatan.

“Datuk Rahman Dahlan digesa bersabar menanti tibanya masa PRU15 kelak. Pemberian “autonomi” yang UMNO Sabah miliki tentu sekali Rahman Dahlan bebas memilih untuk bertanding di mana-mana Kawasan sama ada di DUN Sulaman ataupun mencuba nasib semula di Parlimen Sepanggar atau boleh memilih kedua-duanya sekali.”

“Sidrom keangkuhan, penafian kepada kelemahan pada parti sendiri, merendahkan parti dan peribadi pemimpin lain, sepatutnya tidak  dibawa kembali oleh UMNO jika mahu dipilih oleh rakyat. Elok kiranya fokus untuk membantu dan membangunkan akar umbi dan rakyat bawahan,” tegas beliau.

BERSATU Sabah lebih suka memfokuskan kepada membantu  dan memperjuangkan kebajikan rakyat daripada semua lapisan. -pr/BNN