Kop-Pusamaju Nafi Menipu Pakej Umrah

0
4553
Mohd. Ramlan Mohd.Soon

PUTATAN:  Koperasi Pembangunan Usahasama Masyarakat Maju Sabah Berhad (Kop-Pusamaju) hari ini  menafikan pihaknya telah menipu pakej umrah  seperti yang didakwa oleh sekumpulan jemaah umrah.

Sebaliknya Kop-Pusamaju juga merupakan mangsa penipuan pakej itu yang dianjurkan oleh individu yang dikenali sebagai  Noraini Binti Abu Bakar (Datuk Ain) selaku agen pengendali dari Kuala Lumpur.

Setiausaha Kop-Pusamaju, Encik Mohd Ramlan Mohd Soon berkata, koperasi itu tidak menipu pakej umrah seperti yang didakwa oleh pihak tertentu.

“Kami menafikan sekeras-kerasnya tuduhan yang telah dilemparkan oleh sekumpulan jemaah umrah yang telah membeli pakej tersebut, seperti yang telah disiarkan di media massa dan juga media sosoial.

“Tuduhan itu TIDAK BENAR kerana Kop-Pusamaju juga adalah salah satu mangsa yang ditipu oleh agen yang sepatutnya mengurus pakej umrah tersebut.

“Berikutan kejadian itu, pihak Kop-Pusamaju juga telah membuat laporan polis terhadap individu dan agen yang mengurus pakej umrah murah itu, bagi membersihkan nama baik koperasi.

“Kami  bersimpati dengan keadaan, nasib dan kesulitan yang telah dihadapi oleh para jemaah umrah yang telah membeli pakej tersebut.

“Kami berharap mereka yang terlibat dapat bersabar. Ini kerana pihak koperasi telah membuat laporan polis, dan kami kini masih menunggu hasil siasatan pihak berkenaan dan juga tindakan undang-undang yang akan diambil oleh pihak berkuasa”, katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas laporan  akhbar tempatan yang memetik kumpulan yang diketuai oleh Saidin Jalaludin, mendakwa telah membuat beberapa laporan polis terhadap Kop-Pusamaju kerana didakwa gagal menunaikan janji umrah kepada kira-kira 300 orang.

Kumpulan itu telah membawa pelekat sebagai tanda protes di premis Pasaraya Coop Mart milik Kop-Pusamaju di Putatan Court.

Mohd Ramlan menjelaskan, pihak Koparasi membuat Iaporan polis demi membersihkan nama Kop-Pusamaju kerana segala wang yang telah dibayar oleh jemaah umrah, yang mengikuti pakej itu yang dianjurkan oleh Noraini Binti Abu Bakar (Datuk Ain), sehingga hari ini telah gagal dikembalikan oleh beliau (Noraini).

“Pihak Koperasi telah diperdaya dan ditipu oleh  individu berkenaan bersama-sama peserta lain yang menyertai pakej umrah tersebut”, jelasnya.

Beliau berkata, Kop-Pusamaju tidak akan sekali-kali menipu dalam urusan perniagaan, terutama melibatkan pakej mengerjakan umrah di tanah suci Makkah.

“Kami juga menjadi mangsa penipuan oleh wanita dan agen itu”, tegasnya.

Mohd Ramlan berharap kumpulan yang diketuai oleh Saidin Jalaludin tidak dipergunakan oleh pihak-pihak tertentu yang mengambil kesempatan “meneguk di air keruh” untuk merosakkan nama baik Kop-Pusamwju dan juga Penasihat Kewangan dan Teknikal Koperasi, Dato’ Seri Dr. Haji Arsit Haji Sedi.

Menurutnya, sehingga laporan polis dibuat oleh Kop-Pusamaju pada 25 Julai 2019 lalu,  jumlah keseluruhan wang yang telah dibayar kepada Noraini ialah sebanyak RM957, 460.00.

Manakala jumlah kerugian yang telah dianggarkan adalah sebanyak RM962,750.00 bagi kesemua  319 jemaah umrah yang terlibat, TERMASUK 13 ORANG JEMAAH YANG DIBIAYAI OLEH  DATO’ SERI DR.HAJI ARSIT HAJI SEDI sendiri dan juga bayaran sebanyak RM8,940.00 untuk membeli 106 bagasi yang belum dijelaskan oleh Noraini.

Katanya,  pihak Kop-Pusamaju juga telah difahamkan bahawa Noraini telah mangembalikan “refund* sebanyak RM73,770.00 (untuk 25 orang jemaah), setelah beberapa kali jemaah tersebut mendesak agar wang mereka dikembalikan.

Sebagai makluman katanya, Noraini dan seorang lagi individu yang dikenali sebagai Puan Nazira yang merupakan pengurus kepada Noraini kini  tidak dapat  dikesan dan tidak dapat dihubungi lagl.

Mohd Ramlan berkata,  Kop-Pusamaju membuat Iaporan polis agar  pihak polis dapat membuat siasatan dan mengambil tindakan terhadap Noraini bagi mengembalikan semula passport  dan wang pembayaran pakej umrah para jemaah, termasuk  bayaran tiket penerbangan pergi dan balik dari Kota Kinabalu-Kuala Lumpur-Kota Kinabalu.

Sebagai rekod, Kop-Pusamaju telah ditubuhkan pada 4 Julai 2002 mengikut Akta Koperasi 1993 (Akta 502) dan peraturan-peraturan yang telah dikuatkuasa mulai 16 September 1993.

Kop Pusamaju merupakan antara koperasi terbesar dan berjaya di Sabah. Ia mempunyai 19 ribu ahli dengan RM2 juta syer anggota, RM27 juta yuran anggota, disamping RM51 juta aset koperasi.-pr/BNN