Orang ramai semakin yakin sektor koperasi- Yahya

0
206
Yahya menyerahkan bantuan kepada Pengerusi Kop Karanahan, Michael Asik
Yahya menyerahan replica cek bantuan kepada Setiausaha koperasi Keluarga Dehamboi Gunsak Kota Belud Berhad, Slun Dueasim (kiri) di majlis itu.

KOTA KINABALU: Orang ramai semakin yakin terhadap peranan sektor koperasi untuk meningkatkan taraf sosio-ekonomi dan kesejahteraan rakyat di bandar mahupun luar bandar, kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Yahya Hussin.

Katanya, peningkatan bilangan permohonan untuk menubuhkan koperasi daripada segenap lapisan masyarakat membuktikan keyakinan orang ramai terhadap gerakan koperasi.

“Ini juga membuktikan bahawa program-program pembudayaan dan “awareness” yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) berjaya membuka minda dan persepsi orang ramai bahawa sektor koperasi mampu memberi mereka ruang dan peluang untuk menikmati limpahan ekonomi setara dengan syarikat swasta yang lain”, katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya semasa mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perundingan Koperasi Peringkat Negeri Sabah (MPKN) di TH Hotel, hari ini.

Turut hadir ialah Pengarah SKM Negeri Sabah, Encik Umar Sarim Haji Saidin, pegawai-pegawai kanan kementerian persekutuan dan negeri, pemimpin-pemimpin sektor koperasi, ahli-ahli akademik dan wakil sektor swasta.

Yahya yang juga Pengerusi MPKN Sabah berkata, MPKN mahu melihat koperasi-koperasi di Sabah agar lebih mampan dan mampu mengendalikan perniagaan yang berpotensi, berdaya saing serta berjaya memartabatkan gerakan koperasi dalam membantu meningkatkan taraf sosio ekonomi serta kesejahteraan rakyat.

Menurutnya, gerakan koperasi di Sabah sangat beruntung dan bangga kerana buat pertama kali dalam sejarahnya di negeri ini, Kerajaan Negeri dibawah pimpinan Ketua Menteri, Tan Sri Musa Haji Aman telah memberii peluang gerakan koperasi di Sabah merasa agihan Bajet Negeri 2018.

Yahya menyerahkan bantuan kepada Pengerusi Kop Karanahan, Michael Asik

Katanya, dana berbentuk pinjaman mudah sebanyak RM10 juta diberikan kepada Koperasi Pegawai-Pegawai Kerajaan Sabah Berhad (KOPEKS), manakala RM3 juta lagi diperuntukkan kepada koperasi-koperasi yang baru memulakan perniagaan dalam bentuk geran pembangunan.

Yahya menegaskan, perkembangan itu menunjukkan betapa gerakan koperasi semakin mendapat pengiktirafan sebagai sektor yang dapat membantu mengurangkan kos sara hidup golongan berpendapatan rendah terutama golongan B40.

Beliau mewakili gerakan koperasi negeri Sabah merakamkan ucapan terima kasih diatas keprihatinan Musa terhadap perkembangan dan pembangunan gerakan koperasi di negeri ini.

Sementara itu katanya, bilangan koperasi yang telah didaftarkan sehingga 30 Jun 2017 ialah sebanyak 1,410 buah dengan kekuatan anggota seramai 318,891 orang.

“Jumlah modal syer dan yuran terkumpul sebanyak RM169.6 juta dan aset sebanyak RM774.5 juta. Manakala jumlah perolehan yang dicatatkan untuk tempoh 6 bulan pertama tahun ini ialah sebanyak RM199.1 juta. Perolehan ini mewakili 61.2 peratus daripada jumlah perolehan akhir tahun lepas yang berjumlah RM323.8 juta”, tambahnya.

Yahya yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan Negeri turut menyerahkan cek Bantuan Pembangunan Koperasi kepada 2 buah koperasi iaitu Koperasi Keluarga Dehamboi Gunsak Kota Belud Berhad sebanyak RM40 ribu dan Koperasi Karanahan Kota Belud Sabah Berhad sebanyak RM50 ribu.-pr/BNN