Rina Harun Ke Beaufort 25 Ogos Ini

0
441
Azizah Mohd Dun menyerahkan bendera Jalur Gemilang kepada Amisah Yassin untuk diberikan ahli jawankuasa Srikandi Bersatu Sabah di bahagian-bahagian.

KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Luar Bandar Malaysia, Datuk Seri Rina Harun dijangkakan akan melawat ke Beaufort pada 25 Ogos ini untuk berjumpa ahli-ahli Srikandi Bersatu Sabah peringkat Zon 3.

Ketua Srikandi Bersatu Sabah, Datuk Azizah Mohd Dun berkata, Datuk Rina Harun akan bertemu dengan Srikandi Bersatu Sabah di Dewan Datuk Seri Panglima Haji Mohd Dun Banir, Beaufort.

Beliau berkata, Zon 3 merangkumi bahagian Papar, Kimanis, Beaufort dan Sipitang. Perjumpaan ini merupakan julung kali diadakan yang melibatkan empat kawasan Srikandi bahagian.

“Beliau (Datuk Rina) dijangka berada di Sabah bermula 22 Ogos ini untuk lawatan kerja selaku Menteri Pembangunan Luar Bandar. Kementeriannya mengadakan Karnival Usahawan Desa (KUD) peringkat Zon Sabah bermula 22 hingga 25 Ogos ini di Kompleks Sukan Likas.

“KUD Zon Sabah akan menghimpunkan seramai 350 usahawan seluruh Malaysia iaitu 70 peratus daripadanya adalah usahawan tempatan Sabah yang terdiri daripada usahawan di bawah KPLB Sabah, Kementerian Perdagangan dan Perusahaan Industri serta usahawan lain di bawah kementerian negeri. Pada karnival tersebut sebanyak 10 gerai akan mempamerkan hasil produk daripada Srikandi Bersatu Sabah yang terdiri usahawan wanita,” kata Azizah.

Beliau berkata demikian semasa mempengerusikan Mesyuarat Biro Politik yang pertama di Bilik Mesyuarat Bangunan PPS Sembulan semalam.

Hadir sama Timbalan Pengerusi Datuk Amisah Yassin, Setiausaha Srikandi Bersatu Sabah, Dato Redonah Bahanda, Ketua Penerangan Mizma Appehdullah, Ketua Srikandi Sipitang, Datuk Surinam Sadikun yang juga Pengerusi Zon 3, Timbalan Setiausaha Fahzean Mohiddin Timbalan Ketua Penerangan, Halizah Din dan Setiausaha Kerja Fifila Jeffry.

Azizah turut meminta Srikandi Bersatu Sabah peringkat bahagian dan cawangan sentiasa turun kebawah dan mendekati generasi muda. Generasi muda yang kini turut terlibat dalam proses demokrasi negara ekoran pindaan had umur mengundi kepada 18 tahun perlu membuat penilaian dalam memilih pemimpin berdasarkan merit pencapaian negeri dan negara.

Jelasnya ekoran pindaan itu, dianggarkan seramai 7.8 juta pengundi baharu bakal mencorakkan demokrasi di negara ini dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). Baru-baru ini Dewan Rakyat meluluskan Pindaan Rang Undang-Undang Pilihanraya bagi menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun dan pendaftaran pengundian secara automatik.

Azizah yang juga Ahli Parlimen Beuafort menambah untuk melangkah ke depan, Srikandi mestilah terus membina kekuatan dengan menambah keahlian.

“Srikandi perlu menarik minat wanita Melayu dan Bumiputera untuk menyertai BERSATU. Dekati mahasiswi di kampus, kumpulan wanita profesional bandar, golongan wanita di pekan dan desa. Cari mereka yang berbakat untuk menyertai Srikandi. Selain itu, perkukuhkan perpaduan sesama ahli serta tingkatkan keupayaan untuk melaksanakan gerak kerja parti dengan tersusun,” ujarnya.-pr/BNN