Wujud pusat latihan bahasa untuk penggiat seni

0
Terima kasih....Syed Abas Syed Ali menyampaikan cenderahati kepada Aminah Awang Besar semasa Kunjungan Hormat Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka cawangan Sabah, terhadap Speaker Dun Sabah di Bangunan Dun Sabah semalam.

KOTA KINABALU:Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Syed Syed Ali mencadangkan supaya sebuah Pusat Latihan Bahasa perlu diwujudkan bagi menghargai dan memartabat penggiat seni tanah air.

Beliau berkata idea untuk menubuhkan Pusat Latihan Bahasa tercetus apabila tidak ada tempat pengkhususan untuk penggiat seni berkumpul sambil berkarya bagi memperkasakan bahasa kebangsaan dan kesusteraan Melayu khususnya di negeri Sabah.

“Sudah tiba masanya pihak kerajaan dan Dewan Bahasa dan Pustaka cawangan Sabah untuk mewujudkan Pusat Latihan Bahasa, ini adalah bagi memberi informasi mengenai penggiat seni tempatan. Saya cadangkan di Kundasang, Ranau. Tenpatnya terpencil dan sesuai penggiat seni untuk berkarya.

“Pusat informasi itu nanti turut berperanan sebagai tempat rujukan bagi mendalami dunia seni. Kalau dilihat di negara luar, ada tempat khas untuk menghargai pengiat seni mereka banyak disediakan. Justeru, Malaysia seharusnya tampil dengan idea sama sebagai rujukan untuk masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Kunjungan Hormat Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka cawangan Sabah, Aminah Awang Besar terhadap Speaker Dun Sabah di Bangunan Dun Sabah semalam.

Hadir sama Timbalan Pengarah Rusdi Awang, Perancang Bahasa Ezura As’ Ad Azam dan Noor Ainna Abd Hamid, Penolong Perancang Bahasa, Ahmad Fazly Sahar, Timbalan Setiausaha Dun Sabah, Mohd Jayrey Jaya dan Setiausaha Sulit Speaker Dun Sabah, Sainin Mirin.

Jelas Syed Abas eloklah kerajaan turut memberi keutamaan terhadap perjuangan memantapkan bahasa, memantapkan sastera di negeri ini.

“Saya mencadangkan supaya Kundasang, Ranau ini dijadikan sebagai dataran ilmu, dataran budaya, sastera dan bahasa. Dengan gagasan itu kita dapat membentuk sebuah pembangunan yang seimbang.

“Kita mahu membangunkan ekonomi dan kemajuan rakyat dan pada waktu yang sama, kita juga dapat menerapkan nilai-nilai keilmuan, nilai-nilai moral dan akhlak yang tinggi yang biasanya ditawarkan melalui pemantapan ilmu, budaya, bahasa dan sastera,” katanya.

Tambah beliau dengan wujudnya pusat latihan bahasa itu, kita bukan sahaja dapat memelihara khazanah penting di negeri kita, sebaliknya, tidak mustahil jika sekiranya pusat itu nanti akan menjadi tumpuan pelancong domestik dan antarabangsa.

Jika sekiranya pusat itu dilengkapi dengan pelbagai kemudahan, misalnya kemudahan penginapan atau dilengkapi dengan perkhidmatan-perkhidmatan yang menyokong penganjuran acara-acara bertaraf antarabangsa seperti mesyuarat, konvensyen antarabangsa, dewan pameran (MICE), dewan seminar yang boleh digunakan untuk tujuan simposium atau konvensyen berskala kecil atau besar ujar Syed Abas lagi.

Sementara itu, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka cawangan Sabah, Aminah Awang Besar berkata Kempen Dekad Membaca Kebangsaan baru sahaja dilancar pada tahun lepas

Katanaya dengan berslogankan #MALAYSIAMEMBACA, kempen ini telah diperluaskan ke semua peringkat khalayak sasaran termasuk bayi seawal usia, prasekolah, sekolah rendah, menengah, universiti dan masyarakat umum.

“Kempen Dekad Membaca Kebangsaan merupakan usaha jitu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memartabatkan dan mendaulatkan Bahasa Kebangsaan sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Selain itu, kempen ini diyakini mampu untuk memperkukuhkan budaya membaca dan meningkatkan peratusan rakyat Malaysia membaca untuk merealisasikan hasrat dan budaya membaca dalam kalangan rakyat Malaysia,”katanya

Rancangan memperkasakan pelaksanaan Kempen Membaca Kebangsaan dimulai pada tahun 2018 hingga 2020 dan diteruskan dengan Dekad Membaca Kebangsaan 2020-2030 yang merupakan strategi jangka panjang dalam Pelan Strategik Dekad Membaca Kebangsaan 2020-2030 tambah Aminah.-pr/BNN