Armada Sabah perlu fokus bantu tingkat ekonomi orang-orang muda

0
129
Hajiji (enam dari kiri) bersama Isquzawan (lima dari kiri), Ghazali (tujuh dari kiri), pemimpin BERSATU Tuaran dan ahli-ahli Armada Tuaran yang menghadiri majlis itu.

TUARAN: Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) perlu memberi fokus kepada agenda mengangkat dan memperkukuhkan ekonomi orang-orang muda, kata Ketua Pimpinan BERSATU Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Katanya, Armada selaku sayap parti yang penting, merupakan platform  terbaik untuk orang-orang muda bersuara, selain mengetengahkan bakat kepimpinan mereka.

“Armada hendaklah memberi fokus kepada usaha mengukuh dan membangunkan ekonomi rakyat khususnya orang-orang muda, sebaliknya bukan kepada isu-isu yang tidak relevant.

“Kita mahu Armada di Sabah selain membantu memantapkan perjuangan parti, pada masa yang sama menjadi platform untuk membantu dan membimbing orang-orang muda dalam aspek ekonomi dan keusahawanan”, katanya.

Hajiji berkata demikian pada Majlis Penutupan Seminar Armada Harapan Negara di Dewan Linangkit Cultural Village, Kg. Tutu, Selupoh, di sini, kelmarin.

Seminar sehari itu yang pertama dianjurkan di Sabah oleh  Armada Bahagian Tuaran, disertai oleh seramai 350 pemimpin dan ahli Armada Tuaran.

Turut hadir ialah Ketua Armada BERSATU Sabah, Mohd Isquzawan Israq Arsit, Timbalan Ketua Bahagian BERSATU Tuaran, Encik Abdul Kassim Razali, Ketua Armada BERSATU Tuaran, Encik Mohd Ghazali Hajiji dan pemimpin-pemimpin BERSATU dan Armada bahagian Tuaran.

Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman menegaskan, masyarakat mahukan perubahan, justeru Armada perlu melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebaik mungkin untuk merubah nasib dan masa depan orang-orang muda.

“Aspek ekonomi orang-orang muda perlu diperkasa dan dimantapkan lagi kerana masa depan negara bergantung kepada mereka.

“Kita hendaklah melupakan isu-isu yang tidak mendatangkan faedah seperti isu berunsur perkauman dan agama. Isu-isu demikian tidak relevant di Sabah”, tegasnya.

Katanya, salah satu cabaran yang dihadapi oleh Armada ialah menarik penyertaan dan sokongan  orang-orang muda berumur 18 tahun yang secara automatik akan menjadi pengundi berdaftar.

Sementara itu, ketika menjawab soalan pemberita, Hajiji berkata, BERSATU sebagai parti dalam komponen Pakatan Harapan (PH) akan memberi kerjasama kepada Kerajaan Negeri yang diterajui oleh Parti Warisan Sabah (Warisan) dengan memberi fokus kepada perancangan-perancangan  pembangunan yang akan memberi kebaikan kepada rakyat Sabah.

Sempena majlis itu, Hajiji turut menerima sebanyak 910 borang permohonan sebagai ahli Armada Bahagian Tuaran daripada daerah  Tuaran, Tamparuli dan Kiulu yang disampaikan oleh Mohd.Ghazali.-pr/BNN