Usahawan wanita dicabar ubah sikap

0
177
Kenangan.....Rina Harun dan Azizah Mohd Dun bergambar kenangan bersama Srikandi Bersatu Sabah semasa pertemuan dengan Ketua-ketua Srikandi Bersatu Sabah bersama Ketua Srikandi Bersatu Malaysia selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Srikandi Zon 3 di Bilik Mesyuarat Dewan Datuk Seri Panglima Haji Mohd Dun Banir, Beaufort semalam.

KOTA  KINABALU:Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun berkata golongan wanita yang mahu menjadi usahawan sepatutnya mengubah sikap dan berpandangan lebih jauh kerana matlamat menceburi bidang ini adalah untuk berjaya dan seterusnya membantu orang lain.

Beliau mendapati ramai usahawan wanita takut untuk mendaftarkan perniagaan mereka dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) kerana mahu mengelak cukai dan bimbang tidak mendapat bantuan.

“Kita sendiri dapat lihat ramai wanita berniaga tetapi dari statistik yang kita dapat tidak melambangkan perkara sebenar.

“Bila kita buat kajian kita dimaklumkan mereka takut berdaftar dengan SSM kerana pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan datang, mereka juga sejak dahulu bimbang kurang peluang mendapat Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan sekarang Bantuan Sara Hidup (BSH).

Beliau berkata demikian semasa pertemuan dengan Ketua-ketua Srikandi Bersatu Sabah bersama Ketua Srikandi Bersatu Malaysia selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Srikandi Zon 3 di Bilik Mesyuarat Dewan Datuk Seri Panglima Haji Mohd Dun Banir, Beaufort semalam.

Rina yang juga Ketua Srikandi Bersatu Malaysia menyeru setiap anggota Srikandi diharap tidak berasa selesa dengan pencapaian yang ada sebaliknya terus bekerja keras bagi mendapat keyakinan dan sokongan rakyat.

Katanya Bersatu baru menjadi kerajaan tidak sampai sepenggal dan mesti bersaing dengan gerakan pembangkang yang pelbagai di luar sana.

Menurutnya setiap gerak kerja perlu dilakukan secara komited dan konsisten. Kita mesti memaksimumkan operasi jentera kepada setiap golongan sasar di peringkat akar umbi.

Rina menyeru Srikandi perlu sentiasa berpegang kepada prinsip bekerja sebagai satu pasukan dan bukan bergerak secara sendiri-sendiri. Tanpa pasukan yang mantap tidak mungkin kita mampu melaksanakan gerak kerja dengan baik.

“Satu elemen yang penting ialah kita perlu terus memperkasa gerak kerja memberi penerangan kepada kumpulan sasaran. Segala dasar dan perancangan parti perlu diketahui oleh ahli akar umbi. Jentera perlu melaksanakan program parti dengan lebih berkesan mengikut keutamaan.

“Ini bagi membolehkan parti melaksanakan komunikasi bersepadu kepada kumpulan sasar menerusi teknologi maklumat. Ahli-ahli Bersatu perlu bergerak aktif dalam menyebarluas maklumat dan menangkis setiap tohmahan,” tegas beliau.

Sementara itu, Ketua Srikandi Bersatu Sabah, Datuk Azizah Mohd Dun berkata wanita memainkan peranan yang amat penting dalam pembangunan sesebuah kawasan khususnya di luar bandar.

Katanya untuk memastikan pembangunan berterusan kepada rakyat, lebih-lebih lagi di kawasan luar bandar. Sudah tentu pembangunan berterusan untuk rakyat  perlu diutamakan.

Beliau berkata pembangunan bukan saja dalam bentuk fizikal atau infrastruktur seperti bangunan, jalan raya, jambatan dan rumah untuk golongan B40, malah yang penting ialah pendidikan anak-anak, peluang meningkatkan ekonomi orang muda dan wanita serta kesejahteraan sosial masyarakat orang asal dan rakyat keseluruhannya.

“Wanita luar bandar, perlu merebut peluang dalam Pelan Harapan Pembangunan Luar Bandar. Melalui program-program yang telah dirancang diharap dapat membangunkan luar bandar secara holistik dan bersepadu serta mendatangkan faedah kepada penduduk khususnya untuk wanita luar bandar,” katanya.

Turut hadir sama Timbalan Ketua Srikandi Bersatu Sabah, Datuk Amisah Yassin, Setiausaha Srikandi Bersatu Sabah, Dato Redonah Bahanda, Timbalan Setiausaha, Fahzean Mohiddin, Pengerusi Zon 3, Datuk Surinam Sadikun serta ketua-ketua Srikandi Bersatu bahagian-bahagian.-pr/BNN