Rakyat di Sabah perlu jadi benteng, tolak politik perkauman ekstrem

0
458
Hajiji (baju putih) bergambar bersama pimpinan BERSATU Sabah dan ahli-ahli bahagian Kimanis.

MEMBAKUT: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah menyeru rakyat di Sabah untuk menjadi benteng bagi menolak sebarang tindakan atau pendekatan yang membawa unsur politik perkauman ekstrem.

Hajiji (baju putih) bersama pimpinan BERSATU Sabah memotong kek ulang tahun di majlis itu.

Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) BERSATU Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, sejak sekian lama Sabah diiktiraf sebagai model keharmonian dan perpaduan kaum di Malaysia.

Beliau berkata, kemajmukan masyarakat Sabah dengan lebih 30 kumpulan etnik dan 50 bahasa tidak pernah menjadi penghalang untuk hidup bersama dengan aman dan damai.

“Keunikan dan keistimewaan ini perlu dipelihara dan dihargai oleh setiap rakyat di Sabah”.

“Selain mengekalkan amalan saling mengiktiraf, menerima dan menghormati di antara satu kaum dengan kaum yang lain, masyarakat Sabah perlu sentiasa mengamalkan pendekatan kesederhanaan (moderate) dan mengelakkan ekstremisme, termasuk dalam gerakan politik”, katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Jelajah Pimpinan BERSATU Sabah peringkat Bahagian Kimanis di Dewan Sri Wawasan, Kampung Pimping, hari ini.

Majlis itu turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, Bendahari Bersatu Sabah merangkap Ketua Bahagian Bersatu Kimanis, Datuk Haji Mohd Arifin Haji Mohd Arif, Ketua Srikandi Bersatu Sabah, Datuk Hajah Azizah Mohd Dun, Ketua ARMADA Bersatu Sabah,  Encik Mohd Isquzawan Israq Arsit dan ketua-ketua bahagian BERSATU.

Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman berkata, perbezaan politik tidak seharusnya menjadi punca kita tidak boleh hidup bermasyarakat dan berpecah belah.

Menurutnya, perkara malang ini boleh berlaku sekiranya kita membenarkan politik perkauman ekstrem membiak dan menjadi penyakit di Sabah.

Beliau menegaskan, BERSATU Sabah kesal apabila mutakhir ini terdapat pihak di luar Sabah yang cenderung mengapi-apikan politik perkauman yang melampau.

Hajiji berkata, faktor kaum dijadikan modal politik untuk membangkitkan kemarahan dan kebencian rakyat dan sekali gus mengharapkan pulangan dalam bentuk sokongan politik.

“Sememangnya tidak ada salahnya untuk memperjuangkan kepentingan kaum masing-masing sebagaimana BERSATU menjadi wadah untuk kaum pribumi. ”

“Namun yang merisaukan apabila setiap perkara dijadikan isu politik perkauman. Lebih dahsyat lagi wujud kecenderungan untuk sengaja mencipta isu perkauman yang boleh menggugat perpaduan rakyat dan menanam kebencian di antara kaum yang berbeza”, tegasnya.

Sehubungan itu, BERSATU Sabah menggesa para ahli untuk mengajak rakyat di Sabah untuk menjadi benteng pertahanan untuk menolak politik perkauman yang ekstrem.

“Kita perlu ‘mengeksport’ keharmonian kaum yang wujud di Sabah sebagai contoh teladan kepada mereka di luar sana, dan bukannya ‘mengimport’ sebarang bentuk politik perkauman ekstrem ke negeri ini. ”

“Ia harus bermula dari awal kerana mencegah adalah lebih baik daripada mengubati dan persengketaan kaum boleh membawa kemusnahan besar kepada semua dan hakikatnya tidak ada sesiapa yang akan untung”, tegasnya.

Sementara itu Hajiji turut menerima sebanyak 700 borang keahlian daripada bahagian Kimanis, selain bersama-sama kepimpinan BERSATU Sabah  memotong kek sempena sambutan ulang tahun BERSATU ke-3.

Kira-kira 1500 orang menghadiri program jelajah itu.-pr/BNN