Semangat Warga Mengkabong Sambut Hari Malaysia Yang Unik

0
98
Hajiji (kanan) ketika merasmikan sambutan Hari Malaysia anjuran Persatuan Nelayan Kawasan Tuaran di Mengkabong

TUARAN: ‘Hari Malaysia’ yang diraihkan pada 16 September setiap tahun membawa erti signifikan bagi setiap rakyat di negara ini, khususnya di negeri Sabah.

Bagi warga Kampung Mengkabong, Tuaran, cuaca jerebu tidak menjadi penghalang untuk meneruskan sambutan ‘Hari Malaysia’ mereka yang unik apabila diisi dengan aktiviti ‘Perarakan Perahu Nelayan’ di Jeti Kampung Buansa, Sungai Mengkabong, Tuaran.

Lebih seratus perahu nelayan menyertai perarakan itu, dan mereka juga merupakan peserta pertandingan lumba perahu yang menjadi pengisian sambutan Hari Malaysia.

Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yang merasmikan majlis sambutan itu berkata,  warga kampung itu menterjemahkan kecintaan dan menzahirkan terima kasih mereka melalui perarakan perahu nelayan yang membawa Jalur Gemilang dan bendera negeri Sabah merentasi perairan kampung dan sungai Mengkabong.

Katanya, inisiatif yang ditunjukkan oleh warga kampung serta pihak-pihak yang terlibat dalam program tersebut wajar dipuji.

“Ini kerana ianya dapat menyatupadukan setiap orang dalam semangat kerjasama untuk menjayakan sambutan Hari Malaysia yang amat bermakna dan juga bukti sokongan atas nikmat perpaduan yang telah lama dikecapi”, katanya.

Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman berkata, Kampung Mengkabong adalah sebuah kampung nelayan tradisi yang sudah lama wujud.

“Apa yang membanggakan saya ialah semangat mereka untuk sama-sama merayakan Hari Malaysia ini”, tambahnya.

Beliau juga menzahirkan keterujaan dan rasa bangganya kerana sambutan Hari Malaysia bukan sahaja diraihkan di peringkat kebangsaan, negeri dan daerah, tetapi juga di peringkat kampung.

Hajiji juga menyeru agar rakyat terus menyokong setiap usaha yang digembleng kerajaan dalam memastikan agenda membangun dan memajukan negara ini menjadi kenyataan.

Beliau turut menggesa rakyat agar terus memelihara perpaduan dan kerjasama demi negara Malaysia yang tercinta.

“Rakyat Malaysia tanpa mengira suku kaum, keturunan dan kepercayaan agama harus mengingati dan meraikan Hari Malaysia yang bersejarah ini”, tegasnya.

Turut hadir Penolong Pegawai Daerah Tuaran, Encik Awang Yusuf Osman, Encik Rosman Awang (Pengurus Persatuan Nelayan Kawasan Tuaran),  Encik Roslan Abdullah (Pengerusi Persatuan Peladang Kawasan Tuaran)  dan Encik Hayati Majat (Pengerusi penganjur Majlis Sambutan Hari Malaysia).-pr/BNN