KUANTAN : Pertubuhan Peladang Negeri Pahang (Pasfa) akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Datuk Mazlan Aliman kerana bercakap bohong dan menfitnah pertubuhan itu.
Pengerusi Pasfa, Datuk Indra Mustaffar Kamal Haji Abdul Hamid berkata, Mazlan semasa sidang akhbarnya pada 3 Oktober lalu di Alor Setar telah membuat beberapa tuduhan tidak berasas terhadap pertubuhan itu berhubung penganjuran Konvensyen Peladang 2019.
Katanya tuduhan Mazlan bahawa Pasfa adalah penganjur konvensyen itu adalah tidak benar kerana Pasfa sebenarnya hanya bertindak sebagai Urusetia Konvensyen setelah mendapat persetujuan daripada Pertubuhan Peladang Negeri-Negeri (PPN).
“Pasfa juga tidak menggunakan kewangan PPN dalam penganjuran Konvensyen Peladang 2019 yang diadakan pada hari ini”, katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengenai dakwaan Mazlan bahawa LPP tidak pernah memberi kelulusan kepada Pasfa, Mustapha berkata, Pendaftar Pertubuhan Peladang, Puan Azulita Salim yang juga Ketua Pengarah LPP telah memberi maklum balas berhubung penganjuran konvensyen itu menerusi suratnya bertarikh 18 September 2019.
Katanya, Azulita dalam suratnya kepada Pasfa turut mengemukakan syor-syor untuk penambahbaikan konvensyen tersebut.
“Tuduhan yang telah dibuat oleh Mazlan terhadap Pasfa adalah tidak berasas dan merupakan satu pembohongan yang telah menjejaskan nama baik Pasfa dan semua ahli peladang di seluruh Negara.
“Justeru Pasfa akan mengambil tindakan undang-undang dan menyaman Mazlan di atas kenyataan pembohongannya itu”, tegasnya.-pr/BNN