KOTA KINABALU: Pertubuhan Peladang (PP) yang ditubuhkan dibawah Akta 109, Akta Pertubuhan Peladang, adalah bermula di peringkat Unit di daerah atau kampung-kampung, dimana individu yang terlibat dalam aktiviti atau unsur pertanian menjadi ahli dengan mendaftar dan membeli saham Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).
Keahlian ini melayakkan mereka untuk mendapat perkhidmatan dari PPK, yang hanya boleh diberikan kepada ahli, sepertimana yang telah termaktub di dalam Akta 109.
PPK pula membeli saham di Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) bagi menjadi ahli PPN, manakala PPN membeli saham pula di Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) bagi menjadi ahli NAFAS, membentuk sebuah pergerakan PP tiga peringkat
PP pada dasarnya adalah sebuah koperasi atau persatuan yang didaftarkan oleh Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), sebuah agensi kerajaan yang ditubuhkan di bawah Akta 110, Akta Lembaga Pertubuhan Peladang. Agensi ini berfungsi mendaftar dan membangunkan PP.
Sebagai sebuah koperasi atau pertubuhan, PP adalah berbeza sama-sekali dari sebuah Agensi Berkaitan Kerajaan (GLC), di mana PP ini adalah milik ahli-ahli sepenuhnya.
PP dibenarkan untuk menjalankan segala bentuk aktiviti perniagaan menggunakan modal dalaman, iaitu saham yang dibeli oleh ahli-ahlinya atau pun modal luar seperti pinjaman dari institusi kewangan.
Perniagaan ini adalah bagi menampung perbelanjaan pengurusan dan perkhidmatan yang perlu diberikan kepada ahli.
Terdapat beberapa PP yang telah mencapai kejayaan seperti NAFAS, PPN Johor, PPN Pahang, PPK Kampung Pelet, PPK Tawau dan lain-lain PPK di KADA dan MADA.
Semua kejayaan ini dicapai dengan pembuat dasarnya Ahli Jemaah Pengarah yang dipilih dari kalangan ahli-ahli semasa Mesyuarat Agung Tahunan, dibantu oleh kakitangan pergurusan yang cekap dan berpengalaman yang dipinjamkan oleh LPP di samping semua gerakan perniagan dan pelaburannya mesti mendapat kelulusan Pendaftar Pertubuhan Peladang atau wakilnya di peringkat kebangsaan, negeri atau kawasan.
Demikian menurut bekas Ahli Jemaah Pengarah PPN Sabah dan PPK Kinabalu (Ranau, Sabah), Encik Suhaimi Manjun.
Beliau merupakan orang lama dalam PP, terpanggil memberi penerangan apa itu PP berkata, dari tahun 1973 semasa mula ditubuh sehingga tahun Desember 2017, semua tiga peringkat PP berjalan dengan baik, harmoni dan bergerak bagaikan satu keluarga.
“Bagaimana pun bermula awal 2018 hingga kini pergerakan PP sudah bergolak seperti parti politik. Saya melihat situasi ini tidak baik kerana campur tangan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub dengan sekutunya, Dato Mazlan Aliman.
“Saya rasa Salahuddin dan Mazlan tidak tahu PP itu persatuan dan pemegang sahamnya ialah ahli individu dari kampung/luar bandar.
“Untuk makluman Salahuddin dan Mazlan LPP adalah milik kerajaan dan jika mahu melantik semua ahli lembaganya dari kalangan orang Parti Amanah, maka lantiklah. Sebaliknya jangan mengganggu (dikacau) PP, milik ahli individu pembeli saham ini”, tegasnya.-pr/BNN