Khairuddin tiada kapasiti jawap bagi pihak MOA dan LPP

0

PITAS: Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kudat, Encik Khairuddin Daud tidak mempunyai kapasiti mewakili Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), Dato Haji Salahuddin Ayub dan Datuk Mazlan Aliman Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) menjawab pelbagai isu yang dibangkitkan oleh Pertubuhan Peladang (PP) di Sabah.

Ketua Unit Peladang Kampung Kabatasan, PPK Pitas, Encik Majuning Dayahan (gambar) berkata Khairuddin hanya memegang jawatan Pengerusi PPK dan bukan pegawai di kementerian atau LPP.

“Justeru saya ingin bertanya kepada Khairuddin atas kapasiti apakah beliau menjawab isu-isu yang melibatkan pewartaan Peraturan-Peraturan Pertubuhan Peladang (Pindaan) 2019 yang dibantah oleh ahli-ahli peladang seluruh negara termasuk Sabah?

“Sedangkan Menteri MOA dan Pengerusi LPP masih membisu dan enggan mengulas isu-isu tersebut.

“Adakah Khairuddin selaku pemimpin Parti AMANAH di Sabah telah diarah oleh Salahuddin yang juga Timbalan Presiden AMANAH mengeluarkan kenyataan tersebut?”, katanya dalam satu kenyataan bagi menjawab kenyataan Khairuddin, semalam.

Majuning berkata, Khairuddin sebagai orang baru dalam PP dan bernasib baik kerana baru memenangi jawatan Pengerusi PPK Kudat selepas dilantik sebagai Ahli Jemaah Pengarah (AJP) oleh Menteri MOA yang mungkin kerana beliau adalah Ketua Pemuda Parti AMANAH.

“Beliau sepatutnya belajar selok belok PP dan memahami perjuangan PP terlebih dahulu dan bukan mengeluarkan kenyataan yang menfitnah pemimpin PP Negeri.

“Tuduhan Khairuddin bahawa PPN membelanjakan kos puluhan ribu ringgit kerana menjemput beberapa orang penyanyi termasuk Hetty Koes Endang membuat persembahan pada Majlis Makan Malam dan Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) PPN Sabah adalah satu fitnah.

“Setahu saya bukan Hetty Koes Endang yang membuat persembahan pada malam itu, tetapi artis lain dan kos tersebut bukan ditanggung oleh PPN”, tegasnya.

Menurutnya, Khairuddin perlu memohon maaf kepada ahli-ahli peladang dan PPN Sabah kerana telah memfitnah PPN Sabah.

Majuning berkata, Khairuddin juga biadap apabila tidak menghormati gelaran Datuk yang dianugerahkan oleh Duli Yang Maha Mulia Yang di-Petuan Agong kepada Pengerusi PPK Pitas, Datuk Ng Loi Teck.

Katanya sama ada suka atau tidak suka, Khairuddin sepatutnya memanggil Ng dengan gelaran Datuk dalam kenyataannya. Tindakan itu jelas beliau tidak menghormati anugerah Yang di-Pertuan Agong.-pr/BNN