Kenyataan Khairuddin Daud, Pertubuhan Peladang Kawasan Kudat
Perlembagaan Pertubuhan Peladang bermula Mei 2019 telah disalah ertikan oleh beberapa individu yang berkepentingan dalam Pertubuhan Peladang. Semalam, Ng Loi Teck telah mengeluarkan satu kenyataan berbaur fitnah terhadap Yang Berhormat Menteri Pertanian dan Industri Asas tani, Dato’ Salahuddin Ayub dan Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dengan menyatakan “…pindaan itu hanya bermotifkan politik iaitu untuk memberi kuasa kepada Menteri Pertanian dan Asas Tani (MOA) Datuk Salahuddin Ayub untuk melantik orang-orangnya dari parti Amanah yang beliau terajui untuk mengisi jawatan Ahli Jemaah Pengarah (AJP) di PPK, PPN dan Nafas”.
Lebih teruk lagi, Pengerusi PPK Kinabalu, Datuk Haji Jaimin Samitah menyatakan dengan keras “Pak Menteri berlumba-lumba memperlihatkan siapa yang paling ramai dapat menempatkan orang-orang mereka di sesuatu agensi. Seolah-olah sekiranya lebih ramai penyokong-penyokongnya ditempatkan, lebih berkuasalah Pak Menteri itu”.
Kenyataan ini adalah sangkaan jahat daripada mereka kerana tanpa melalui usul periksa dan kajian yang mendalam telah melemparkan tuduhan yang tidak berasas kepada YB Menteri, LPP dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Selain itu, mereka juga mempersoalkan dan memperlekeh kredibiliti dan hak kuasa Menteri untuk meminda sebarang klausa dalam Perlembagaan Pertubugan Peladang.
Seperti yang diketahui, Pindaan Perlembagaan ini dibuat bagi menambah lantikan Menteri dalam mana-mana PPK dan PPN. Sebenarnya, amalan lantikan Menteri ini telah termaktub di dalam Perlembagaan sejak era Barisan Nasional lagi. Lantikan Menteri telah berlaku sewaktu Dato’ Ismail Sabri menjadi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani. Dan perkara ini diteruskan dalam era kerajaan Pakatan Harapan.
Di setiap PPK, majoriti AJP adalah dipilih melalui Mesyuarat Agung iaitu seramai 7 orang. AJP lantikan Menteri hanya 5 orang. Tidak timbul isu AJP Lantikan Menteri menguasai PPK. AJP Lantikan Menteri pula berperanan menjadi ‘check and balance’ kepada AJP PPK. Hal ini kerana, AJP PPK sebelum ini telah melakukan banyak kesalahan dalam mengurus tadbir PPK.
Menyentuh mengenai PPN, PPN gagal memperjuangkan isu peladang dan tiada inisiatif membantu dan membangunkan ahli peladang di Sabah. PPN juga gagal bekerjasama dengan PPK di Sabah sehingga hanya satu dari 27 PPK di Sabah dikategorikan sebagai A.
AJP PPN juga tidak menghormati LPP sebagai Pendaftar apabila bertindak di luar bidang kuasa memecat Pengurus Besar PPN. Tindakan tersebut telah memalukan seorang kakitangan kerajaan dan LPP yang telah berkhidmat membantu pembangunan peladang di Sabah.
Malah, tindakan PPN menjemput beberapa orang penyanyi termasuk Hetty Koes Endang pada Makan Makan Peladang menyebabkan kos puluhan ribu ringgit dikeluarkan adalah pembaziran. Sepatutnya wang berkenaan digunakan untuk membangunkan peladang dan ppk
Selain itu, kita kini berada diera Malaysia Baharu dengan kerajaan Pakatan Harapan- Warisan, UPKO, selepas UMNO dan BN tumbang pada PRU-14. Pastinya kerajaan berhadapan dengan cabaran memperkenalkan dasar kerajaan baharu dalam pentadbiran iaitu Reformasi Peladang. Maka, bagi mempercepatkan dan memastikan pelaksanaan Reformasi Peladang berjalan lancar, memerlukan individu yang berkelayakan dan memahami dasar kerajaan baru ini sehingga ke peringkat akar umbi. Maka, pelantikan Menteri dibuat daripada sebesar-besar fungsi dalam Kementerian sehinggalah peringkat PPK bagi memastikan dasar baharu dapat difahami dan dilaksanakan.
Dalam pada itu, kami juga menafikan lantikan Menteri dibuat bagi semata-mata menempatkan anggota Parti AMANAH. Itu adalah tidak benar. Lantikan Menteri tidak dibuat berasaskan parti, tetapi berdasarkan kapasiti akdemik, pengalaman, skill dan kebolehan dalam menguruskan sesebuah Pertubuhan, Syarikat atau Koprasi. Bahkan ramai juga yang ditolak kerana tidak memenuhi kriteria yanh ditetapkan.
Begitu juga dengan prestasi lantikan Menteri. Prestasi lantikan Menteri disemua peringkat bermula dengan PPK, PPN hingga ke BOD LPP dipantau terus oleh Menteri menerusi laporan bulanan Pengerusi LPP, Datuk Mazlan Aliman. Justeru, tidak timbul isu lantikan Menteri bertujuan menempatkan ahli parti, berlumba-lumba antara Menteri dan sebagainya. Yang ada hanyalah memastikan dasar dan hasrat kerajaan baru dalam bidang Perladangan dapat difahami hingga ke peringkat Unit Peladang.
Maka, adalah tidak wajar mana-mana individu melemparkan tuduhan jahat tanpa usul periksa. Saya juga menasihatkan Pengerusi PPK Pitas, Ng Loi Teck dan Pengerusi PPK Kinabalu, Haji Jaimin Samitah, menumpukan kepada pembangunan peladang diperingkat kawasan masing-masing. Lantikan Menteri di PPK sentiasa memberikan kerjasama kepada anda sekiranya mahu bersama-sama membangun PPK.
Lebih baik dilantik oleh Menteri melalui Pindaan Perlembagaan yang sah, daripada membeli undi Perwakilan untuk memastikan kemenangan berpuluh tahun dan nyata ia bercanggah dengan Perlembagaan Pertubuhan.-pr/BNN