KOTA KINABALU: Ahli perniagaan, Datuk Chee Chi Nyen (JP), yang hampir dicalonkan bertanding pada Pilihan Raya Negeri Sabah November tahun lalu, mengaku tidak bersalah terhadap keseluruhan tujuh pertuduhan membabitkan dakwaan penipuan mengikut Kanun Keseksaan.

Tertuduh yang diwakili peguam Zahir Hussein hadir di Mahkamah Sesyen 2 Kota Kinabalu di hadapan Hakim Monica Linsua pada 12 Jun 2026.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Rohaiza Abd Rahman dan Eugenie Meredith Gilbert.

Pada asalnya, empat pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan telah didaftarkan pada Mac 2026 di bawah dua nombor kes berasingan, sebelum dipinda. Pertuduhan pindaan itu kemudian dibacakan semula kepada Chee, yang mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan berkenaan.

Tiga pertuduhan tambahan kemudiannya didaftarkan di bawah nombor kes BKI-62K-45-6/2026. Pertuduhan itu turut dibacakan kepada Chee, yang sekali lagi mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan.

Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM1 juta bagi setiap nombor kes, dengan syarat deposit tunai RM500,000 bagi setiap kes serta dua penjamin tempatan.

Pihak pendakwaan turut memohon supaya kes BKI-62K-45-6/2026 didengar bersama kes BKI-62K-9-3/2026 dan BKI-62K-10-3/2026.

Dalam perkembangan berkaitan, semua pertuduhan terhadap seorang lagi tertuduh, Datuk Chee Chi Vun, telah ditarik balik berikutan kematiannya.

Sehubungan itu, kes bernombor BKI-62K-6-2/2026, BKI-62K-7-2/2026 dan BKI-62K-8-2/2026 telah dibatalkan (struck out) oleh mahkamah.

Mahkamah menetapkan 31 Julai 2026 sebagai tarikh sebutan semula bagi mendapatkan keputusan berhubung surat representasi yang dikemukakan.

Nombor kes: BKI-62K-45-6/2026 (tiga pertuduhan tambahan), BKI-62K-9-3/2026 dan BKI-62K-10-3/2026.-pr/BNN