Menteri MOA Dan LPP perlu jawab isu libatkan pewartaan peraturan PP 2019

0
740

RANAU : Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), Datuk Haji Salahuddin Ayub dan Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) perlu menjawab pelbagai isu yang dibangkitkan oleh pemimpin Pertubuhan Peladang (PP) di Sabah.

Ketua Unit Peladang Kampung Lipasu (PPK Kinabulu), Encik Jailin Nazrin (gambar) berkata  isu-Isu tersebut termasuk pewartaan Peraturan-Peraturan Pertubuhan Peladang (Pindaan) 2019 yang sepatutnya dijawab oleh Menteri dan Pengerusi LPP, dan bukannya oleh Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kudat.

“Saya hairan bagaimana Pengerusi PPK Kudat, Encik Khairuddin Daud boleh menjawab isu-isu yang telah dibangkitkan oleh pemimpin PP di Sabah? Dengan kapasiti apakah beliau berbuat demikian?”, soalnya.

Beliau berkata, isu yang dibangkitkan oleh Pengerusi PPK Kinabalu, Datuk Haji Jaimin Samitah bukan satu sangkaan jahat terhadap Menteri MOA, sebaliknya mempunyai bukti bahawa ahli-ahli Parti AMANAH telah dilantik sebagai Ahli Jemaah Pengarah (AJP) di PP.

Katanya, bukti yang terbaik ialah Khairuddin sendiri, selaku pemimpin Pemuda AMANAH Sabah telah dilantik sebagai AJP oleh Menteri MOA walaupun PP adalah milik ahli-ahli PP selaku pemegang saham tunggal.

“PP dimiliki oleh ahli-ahli peladang menerusi saham mereka. Ia bukan milik MOA atau LPP. PP juga bukan syarikat pelabur kerajaan (GLC), sehingga Menteri MOA atau LPP dengan sesuka hati melantik orang-orang politik khususnya ahli-ahli AMANAH untuk mengisi jawatan AJP di PP.

“Ini yang menimbulkan kemarahan dikalangan ahli-ahli peladang di seluruh negara kerana pewartaan peraturan-peraturan PP (Pindaan) 2019 seakan bermotifkan politik”, tegasnya.

Mengenai dakwaan Khairuddin bahawa PPN Sabah membelanjakan kos puluhan ribu ringgit kerana menjemput beberapa orang penyanyi termasuk Hetty Koes Endang membuat persembahan pada Majlis Makan Malam dan Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) PPN Sabah, Jailin berkata, ia merupakan satu fitnah.

“Sebagai orang baru dalam Pertubuhan Peladang, beliau sepatutnya mendapatkan fakta sebenar sebelum mengeluarkan kenyataan memfitnah pemimpin PP Negeri”, tambahnya.

Mengenai dakwaan Khairuddin bahawa amalan lantikan Menteri telah berlaku sewaktu Dato’ Ismail Sabri menjadi Menteri MOA, Jailin berkata, setahunya pelantikan AJP dibawah lantikan Menteri telah wujud sejak tahun 1983 lagi (sejak Peraturan PP 1983 diwartakan ) tetapi kebanyakan Menteri MOA tidak membuat lantikan AJP sesuka hati seperti yang berlaku sekarang.

“Ini Kerana Menteri MOA terdahulu tahu pelantikan itu hanya untuk pegawai kerajaan yang boleh menyumbang kepada Pertubuhan Peladang (PP), contohnya Pegawai Pertanian, Pengurus/Pegawai Bank, Pegawai Veterinar atau mana-mana individu yang difikirkan oleh Menteri yang boleh membantu PP”, tegasnya.

Jailin mencabar Khairuddin membuktikan secara dokumen bahawa AJP lantikan Menteri di PP bukan terdiri daripada kalangan orang politik khususnya dari Parti AMANAH.-pr/BNN