Tanggungjawab Kerajaan Persekutuan Pulangkan 40% Hasil Dikutip Dari Sabah

0
742
Ronald ketika membahas Bajet 2020 di Dewan Rakyat.

KOTA KINABALU: Adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Persekutuan untuk memulangkan 2/5 atau 40% daripada apa jua hasil yang dikutip dari Sabah, dikembalikan semula ke negeri ini, kata Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee.

Katanya, kedudukan Sabah dalam Malaysia yang di asaskan melalui Perjanjian Malaysia dalam tahun 1963 dan dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan hendaklah dijadikan asas perkiraan untuk Kerajaan Persekutuan menimbang pemberian khas kepada Sabah.

Beliau berkata, Perkara 112D dalam Perlembagaan Persekutuan bukan sekadar menggandakan pemberian khas bagi negeri Sabah daripada RM 26.6 juta kepada RM 56.4 juta

Sebaliknya menurutnya,  pemberian khas untuk Sabah itu hendaklah dibaca bersama dengan jadual ke sepuluh perkara 2(1) dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Sekadar menggandakan daripada jumlah sebanyak RM 26.7juta setahun kepada RM53.4 juta bukanlah penyelesaiannya”, katanya semasa membahas Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur, kelmarin.

Belanjawan 2020 telah dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Encik Lim Guan Eng, Jumaat lepas.

Dalam pembentangan belanjawan tersebut Menteri Kewangan memaklumkan bahawa sesuai dengan perkara 112D Perlembangaan Persekutuan, kerajaan menggandakan peruntukan khas untuk Sabah dari RM26.7  juta kepada RM53.4juta

Ronald berkata,  sebagai Wakil Rakyat yang berasal dari Sabah, beliau berharap  Kementerian Kewangan akan mengkaji pemberian khas tersebut untuk Sabah di bajet-bajet akan datang.

Bagaimanapun beliau mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Persekutuan kerana untuk sekian lamanya jumlah pemberian khas di bawah Perlembagaan Persekutuan, perkara 112D digandakan melalui Bajet 2020.

Beliau juga berharap agar kerajaan akan terus memperuntukkan peruntukan secukupnya kepada sektor pendidikan di Sabah.

“Ini kerana terlalu banyak sekolah daif yang perlu dipulihkan oleh Kementerian Pendidikan di Sabah. Sekolah-sekolah daif ini memerlukan pembelaan daripada Kerajaan Persekutuan”, tegasnya.

Ronald berkata, Sabah kini memiliki sejumlah 587 buah sekolah daif dan sebanyak 91 buah sekolah lagi  tidak selamat diduduki oleh murid2 sekolah.

“Peruntukan sebanyak RM700 juta yang dikhususkan oleh kerajaan melalui Bajet 2020, tentulah tidak dapat menampung keperluan negeri Sabah untuk membaik pulih sekolah daif tahun hadapan”, tambahnya.

Ronald Kiandee yang juga Setiausaha Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah berharap,  jangkaan “revenue” kerajaan dapat dicapai  bagi membolehkan Bajet 2020 mampu mencapai matlamat yang dikehendaki oleh kerajaan.-pr/BNN