KOTA KINABALU: Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bahagian Sepanggar menyokong keputusan Putrajaya mengharamkan komik “Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat Bersama”.
Ketuanya, Abqaree Fawwaz Abekan berkata, pengharaman komik itu oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) wajar disokong oleh semua pihak.
“Justeru pemimpin DAP tidak perlu melenting dan terus membuat pelbagai tuduhan terhadap KDN kerana keputusan pengharaman itu adalah untuk kepentingan awam.
“Armada Sepanggar menyokong kenyataan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sepanggar, Encik Razali Razi@Bob yang menggesa KDN jangan melayan gesaan veteran DAP Lim Kit Siang agar pengharaman komik itu ditarik balik”, katanya, hari ini.
Razali berkata, keputusan KDN mewartakan perintah larangan terhadap komik “Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat Bersama”, termasuk versi kedua-dua bahasa Inggeris dan Cina, amat wajar.
“KDN tidak perlu tunduk dengan gesaan dan permintaan Lim Kit Siang atau mana-mana pihak kerana kandungan penerbitan ini dipercayai akan mendatangkan kesan yang negatit kepada masyarakat.”
“Kita tidak mahu masyarakat negara ini khususnya generasi muda disajikan dengan buku komik itu yang antara lain cuba mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme, selain menyebarkan fakta yang salah dan mengelirukan tentang komunis”, kata semalam.
Abqaree berkata, penguatkuasa KDN juga perlu mengadakan pemantauan di Sabah bagi memastikan komik yang menyalahi Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) 1984 itu tidak dijual atau diedar di sekolah-sekolah.
Katanya, Jabatan Pendidikan Sabah juga perlu memastikan tiada komik itu diedar di sekolah-sekokah kerana ia telah diwartakan perintah larangan oleh KDN.
Semalam Polis mengesahkan KDN Pulau Pinang telah merampas 28 naskhah komik bertajuk “Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat Bersama” di dua lokasi berlainan.
Abqaree juga menggesa pihak polis dan KDN mengambil tindakan terhadap pihak yang terlibat dalam menerbit dan mengedar buku tersebut.
KDN telah mengharamkan pengedaran dan penerbitan komik Hew Kuan Yau yang menjadi kontroversi selepas diedarkan di sekolah tertentu di Pulau Pinang.
Perintah Larangan itu turut terpakai bagi versi bahasa Inggeris “Belt & Road Initiative For Win-Winism” dan versi Bahasa Cina “互利共赢的 一带一路 ” melalui Warta Kerajaan P.U.(A) 288/2019.
KDN sebelum ini berkata, penerbitan tersebut dikenakan perintah larangan kerana terdapat kandungan yang mungkin memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan serta mungkin menggemparkan fikiran orang ramai.
Kandungan penerbitan ini antara lain cuba mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme, menyebarkan fakta yang salah dan mengelirukan tentang komunis serta mengandungi unsur untuk membangkitkan sokongan dan simpati terhadap perjuangan komunis.-pr/BNN