Nafas perlu belanja rm1.68 juta setahun bayar gaji pegawai pembangunan peladang Nafas negeri-negeri

0
Sylvia Belinggi

KOTA KINABALU: Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) perlu membelanjakan kira-kira RM140 ribu sebulan atau RM1,680,000 setahun untuk membayar gaji 28 orang Pegawai Pembangunan Peladang Nafas yang dilantikan baru-baru ini.

Ahli Jemaah Pengarah (AJP) Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Sabah, Puan Sylvia Belinggi berkata perbelanjaan itu  berdasarkan  kiraan kadar gaji RM5,000 sebulan bagi setiap Pegawai Pembangunan Peladang  jawatan lantikan politik  oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA).

Katanya, perbelanjaan membayar gaji pegawai lantikan politik itu bukan sedikit angkanya. Dari mana Nafas memperolehi kewangan sebesar itu untuk tujuan tersebut.

“Sedangkan prestasi perniagaan Nafas kini tidak seperti dahulu yang mampu mencatat keuntungan ratusan juta ringgit setiap tahun.

“Dengan keadaan ekonomi negara dan global yang masih belum kukuh, ia secara tidak langsung telah mempengaruhi prestasi perniagaan Nafas.

“Bagi menghadapi cabaran dan unjuran ekonomi global yang perlahan, Nafas sepatutnya berbelanja secara berhemah selaras dengan saranan Kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH)”, katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan media mengenai dakwaan beberapa PPK mempersoalan tindakan Menteri MOA melantik Pegawai Pembangunan Peladang Nafas untuk negeri-negeri seluruh Malaysia.

Setiap negeri akan menerima 2 orang Pegawai Pembangunan Peladang Nafas dan difahamkan mereka yang dilantik itu adalah ahli Parti Amanah yang sebelum ini telah dilantik sebagai AJP PPK oleh Menteri MOA.

PPK telah menyuarakan kebimbangan mereka kerana jawatan lantikan politik itu akan menyebabkan Nafas menanggung gaji bulanan yang tinggi, sedangkan Nafas adalah milik peladang dan bukan agensi pelaburan kerajaan seperti GLC yang lain.

Sylvia yang juga Ketua PeladangNita PPN Sabah meminta Pengurus Besar Nafas, Encik Ahmad Shaari memberi penjelasan kepada ahli-ahli peladang selaku pemegang saham Nafas berhubung lantikan itu.

“Sekiranya perlantikan pegawai ini hanya untuk kepentingan politik, Menteri MOA dan Nafas perlu membatalkan perlantikan itu kerana Nafas perlu menanggung perbelanjaan yang besar membayar gaji pegawai-pegawai tersebut”, tegasnya.-pr/BNN