Sokong Pelantikan PPP, jayakan Reformasi Peladang

0
506
Khairuddin Daud

Tiada apa yang perlu diragukan dengan tindakan Ahli Lembaga Pengarah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) melantik Pegawai Pembangunan Peladang (PPP) di setiap negeri. Langkah ini perlu bagi melaksanakan agenda reformasi peladang yang kini sedang giat dilaksanakan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA). Pembentangan bajet 2020 menyaksikan peningkatan peruntukan MOA sebanyak 10.9% daripada Rm 4.4 billion kepada RM 4.9 billion.

Dana ini perlu diuruskan dengan baik agar dapat memberikan manfaat hingga ke akar umbi iaitu sekecil-kecil unti Peladang di setiap Pertubuhan Peladang di seluruh negara, selaras dengan tema Bajet 2020 iaitu Kemakmuran Bersama. Pastinya bagi menjayakan matlamat ini, memerlukan tenaga kerja yang kompeten, jujur dan amanah.

Bukan sepertimana era kerajaan Barisan Nasional, Pertubuhan Peladang menjadi lubuk segelintir pihak memperoleh habuan sehingga menyebabkan ketirisan yang ketara dalam pentadbiran Pertubuhan Peladang. Kesan domino daripada ketirisan ini pastinya terhadap para petani, peladang dan nelayan. Nasib mereka tidak pernah berubah sejak dahulu, hanya sahaja segelintir pihak mengaut kekayaan.

Salah satu faktornya, kerana tiada tenaga kerja yang kompeten, jujur dan amanah dalam memastikan peruntukan ini disalurkan dengan betul. Silalah bertanya kepada para ahli peladang, apakah manfaat yang mereka dapat? Rata-rata menjawab tiada sedangkan saham mereka ada didalam Pertubuhan Peladang dan NAFAS, hanya sahaja mereka tidak bising di media seperti segelintir AJP yang mengeluarkan kenyataan meremehkan usaha Menteri MOA membantu peladang hampir setiap hari.

Sepatutnya perkara ini perlu dimuhasabah. Mengapa nasib peladang dan petani masih sama sejak dahulu sedangkan berbilion ringgit telah dibelanjakan. Pasti ada kesilapan dalam struktur pengurusan sehingga menyebabkan peruntukan tidak sampai ke bawah.

Maka ‘structural reform’ yang dibuat oleh NAFAS adalah langkah terbaik bagi memastikan pentadbiran PP telus dan tidak tiris. Peruntukan benar-benar sampai kepada unit. Projek-projek pembangunan betul-betul dibuat oleh PP dan Unit-unit dan bukan lagi kontraktor dalam kalangan AJP. Tidak ada salahnya NAFAS melantik PPP di setiap negeri bagi memastikan ketelusan dalam pentadbiran PP.

Khairuddin Daud

Pengerusi
AJP PPK Kudat