TUARAN: Ibu-bapa perlu memastikan anak-anak mereka mendapat ilmu dan pendidikan yang sempurna dan mencukupi sebagai bekalan menghadapi cabaran masa depan, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Katanya, tanggungawab ibu bapa terhadap anak-anak amat berat dan mencabar sejak mereka di peringkat umur yang amat muda lagi sehingga dewasa.
“Dalam proses membentuk anak-anak, Ibu bapa tidak boleh menyerahkan kepada orang lain seperti guru-guru semata-mata untuk melakukannya.
“Ibu bapa perlu mengambil peranan yang aktif dan memikul tanggungjawab itu bersama, kerana kejayaan seseorang anak di sekolah amat bergantung kepada didikan ibu bapa mereka”, katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Apresiasi Tabika dan Taska PERMATA KEMAS Daerah Tuaran tahun 2019 di Dewan Sri Sulaman, Tuaran, hari ini.
Hajiji berkata mengikut kajian, anak-anak yang berjaya lahir daripada didikan ibu bapa yang komited dengan tanggungawabnya, selain suasana dan persekitaran tempat tinggal anak-anak itu.
Katanya, negara memerlukan masyarakat yang berilmu dan berpendidikan, agar mereka mampu bersaing dan maju dalam era globalisasi.
“Justeru, ibu bapa bertanggungjawab menjaga anak-anak walaupun mereka berada di luar rumah. Banyak masalah yang melibatkan anak-anak berpunca daripada mereka terbiar dan kurang mendapat perhatian daripada ibu bapa.
“Sehingga anak-anak terjebak dengan perkara-perkara yang tidak baik disebabkan ketidakprihatinan ibu bapa terhadap mereka.
“Bukan kita tidak sayang anak-anak kita, tetapi mungkin masa yang kita luangkan bersama mereka begitu terhad. Atau kita tidak pernah membawa mereka berbincang dan berbicara tentang masalah,keperluan dan keinginan yang mereka mahu lakukan”, tegasnya.
Hajiji berkata, sekiranya ibu bapa memberikan kasih sayang dan perhatian yang lebih kepada anak-anak terutama semasa mereka berada di peringkat sekolah menengah yang amat mencabar, nescaya mereka akan menjadi masyarakat yang berjaya.
Sehubungan itu, beliau mahu ibu bapa memberikan perhatian yang lebih terhadap anak-anak, supaya mereka berasa diri mereka disayangi dan diberi perhatian yang sewajarnya.
“Banyak masalah kanak-kanak dan remaja berpunca daripada mereka terbiar dan tidak diberi perhatian khusus oleh ibu bapa mereka”, tegasnya.
Katanya, pendidikan amat penting dalam dunia moden yang mencabar ini. Sekiranya seseorang itu tidak memiliki pendidikan yang sempurna, maka kuasa bersaingnya dengan yang lain akan terhad, berbanding dengan yang berpendidikan tinggi.
“Hanya dengan memiliki pendidikan yang tinggi dan sempurna, anak-anak kita akan berjaya di masa hadapan dan menjadi individu yang dapat menyumbang kepada kemajuan dan pembangunan bangsa dan negara”, tegasnya.
Turut hadir ialah Pegawai KEMAS Daerah Tuaran,Puan Fittriawati Binti Osman, Penyelia Kanan, KEMAS Daerah, Encik Perman Bin Abu Bakar,
Penyelia Pendidikan Awal KEMAS Tuaran, Puan Rupiah Hj Norsidi, Pengerusi Gabungan Tabika, KEMAS Daerah Tuaran, Haji Noorzain Bin Tawi dan Timbalannya, Encik Uttoh Libi.-pr/BNN