BERSAMA ARMADA.…Ketua Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Negeri Sabah,  Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Bin Haji Noor (duduk, tengah) bersama Ketua-ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu Sabah yang diketuai oleh Ketua Armada Negeri, Encik Mohd Isquzawan Israq Datuk Arsit (duduk, empat dari kiri) pada Bengkel Pemurnian Pasca Belanjawan 2020 Armada Bersatu Negeri Sabah yang diadakan di Pejabat BERSATU Sabah, Alam Mesra, Kota Kinabalu pada Ahad (10 November 2019).

Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman berkata, Armada mempunyai tugas yang amat berat untuk menguatkan BERSATU di Sabah.

Katanya, pimpinan Armada  mesti berkerja kuat untuk membawa anak-anak muda menyertai dan menyokong BERSATU.

“Armada mesti sering membuat pertemuan dan “engagement” (temu mesra) bersama anak-anak muda untuk menarik minat dan menambat hati mereka agar menyokong BERSATU di Sabah kerana anak-anak muda merupakan pengundi teramai”, tambahnya.

Beliau menegaskan,  BERSATU Sabah sentiasa bersedia memberi ruang kepada golongan muda untuk bersama-sama dalam perjuangan parti itu.

“Kehendak golongan muda tidak boleh diketepikan kerana mereka akan mencorakkan masa depan negara. Kita melihat bagaimana mereka bersuara dan suara mereka turut merubah landskap politik negara dalam pilihan raya umum lalu dan juga di masa akan datang”, kata Hajiji.

Enam bidang menjadi fokus dan teras bengkel tersebut iaitu ekonomi dan keusahawanan; pendidikan;  kerjaya, kemahiran dan kebolehpasaran graduan;  pembangunan sukan, atlit dan belia; perumahan dan kos sara hidup belia dan politik  dan kepimpinan.-pr/BNN