RANAU: Kerajaan Persekutuan dibawah Pakatan Harapan (PH) perlu mendengar suara rakyat akar umbi termasuk rungutan ahli-ahli peladang, kata Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Ranau, Datuk Haji Jaimin Samitah.
Katanya, kekalahan PH pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai harus menjadi pengajaran dan iktibar kepada kepimpinan Kerajaan PH, termasuk Menteri-Menteri Kabinet Persekutuan.
Beliau berkata, keputusan PRK itu jelas bahawa rakyat telah bersuara, mereka marah dan muak dengan Kerajaan termasuk beberapa dasar baru yang dilaksanakan oleh Menteri PH.
“Mengambil contoh pewartaan Peraturan-Peraturan Pertubuhan Peladang 2019 yang dibuat oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) yang mendapat bantahan oleh ahli-ahli peladang seluruh negara.
“Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) dan PPK telah bersuara dan tidak bersetuju dengan dasar baru itu, malangnya Menteri MOA tidak peduli dan enggan melayan dan mendengar rungutan ahli-ahli peladang.
“Justeru PRK merupakan medan untuk ahli-ahli peladang menyuarakan rasa marah dan tidak puas hati mereka terhadap dasar tersebut yang jelas bermotifkan politik iaitu untuk melantik ahli-ahli Parti Amanah sebagai Ahli Jemaah Pengarah (AJP) dalam Pertubuhan Peladang (PP).
“Dan tergamak menggunakan Pertubuhan Peladang yang bukan milik kerajaan, sebaliknya milik ahli-ahli peladang seramai hampir 1 juta orang di seluruh negara, telah dijadikan sebagai alat dan tempat oleh Menteri MOA melantik penyokongnya dan ahli Parti Amanah bagi mengisi jawatan-jawatan lantikan politik dialam PP”, tegasnya
Jaimin turut menyokong kenyataan Pengerusi PPK Pitas, Datuk Ng Loi Tect mengenai kekalahan calon PH (Bersatu) dalam PRK Tanjung Piai,Johor.
Beliau bersetuju dan menyokong kenyataan bekas Menteri Persekutuan, Tan Sri Datuk Seri Panglima Dr Rais Yatim bahawa kekalahan Pakatan Harapan (PH) menunjukkan rakyat sudah muak dengan kerajaan hari ini.
Menerusi ciapannya di Twitternya semalam, bekas Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan itu berkata, ia merupakan kekalahan teruk yang membawa mesej berbentuk ‘gegaran letupan’.
“Jika terus tak peduli janji-janji Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kalau terus bermenteri tiga suku dan buta, tuli jeritan rakyat, bersedialah untuk berkerajaan tempang dan tumbang di pilihan raya akan datang,” ciapnya.
Jaimin yakin penyumbang utama kekalahan Calon PH ( Bersatu ) ia lah Datuk Salahuddin Ayub Menteri MOA yang mana tanjung piai adalah kampong halaman nya.
PRK Tanjung Piai pada Sabtu lalu menyaksikan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng merampas kembali kerusi Parlimen itu dengan majoriti besar sebanyak 15,086 undi.
Jeck Seng, 55, memperoleh sebanyak 25,466 undi mengatasi pencabar terdekatnya iaitu calon PH, Karmaine Sardini yang memperoleh 10,380 undi.-pr/BNN