KOTA KINABALU: Lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) di SICC, semalam, membawa satu anjakan yang berbeza dan bukan sekadar pengulangan skrip lama mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Bahagian Kinabatangan,
Aksyah Haji Nasrah, berkata beliau melihat keputusan yang dicapai dalam mesyuarat itu sebagai satu manifestasi tulen yang mengambil semula semangat asal pembentukan Malaysia.
“Negara ini ditubuhkan atas dasar perkongsian wilayah, bukannya penyerahan wilayah. Sabah dan Sarawak bukan menyertai Persekutuan sebagai entiti yang kerdil, tetapi sebagai rakan kongsi sekutu yang setaraf,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Katanya, selama berpuluh tahun, semangat asal itu sering dipinggirkan, hak Sabah dan Sarawak diabaikan dan suara wilayah Borneo di Parlimen mengecil sehingga kuasa imbang (veto power) hilang keseimbangan.
“Sebab itu, apabila PMX secara prinsip bersetuju untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi menambah jumlah kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak, saya menganggap ini sebagai satu tindakan yang berani dan ikhlas,” katanya.
Menurutnya, langkah itu bukan sekadar urusan teknikal pilihan raya, sebaliknya usaha membetulkan semula ketirisan sejarah demi mengembalikan hak satu pertiga suara perwakilan Borneo sepertimana yang telah termaktub sewaktu negara ini diasaskan pada 1963.
“Tanpa suara yang seimbang, maruah Borneo tidak akan dapat dipertahankan secara tuntas di peringkat nasional,” katanya.
Aksyah berkata pokok utama yang menjadi ujian keikhlasan Putrajaya sudah tentulah mengenai hak kewangan, khususnya tuntutan pemberian khas 40 peratus hasil bersih di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.
“Rakyat Sabah sudah lama dahagakan keadilan. Kita tahu, ada pihak pembangkang yang gemar menuduh tanpa usul periksa, mendakwa bahawa kepimpinan hari ini lemah dan tunduk kepada kehendak Persekutuan. Tuduhan itu meleset sama sekali,” katanya.
Sebaliknya, beliau berkata apa yang dibuktikan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, adalah satu ketegasan yang berwibawa melalui saluran diplomasi yang matang.
“Beliau tidak memilih jalan konfrontasi yang merugikan rakyat, tetapi meletakkan tuntutan 40 peratus hasil bersih ini sebagai agenda wajib yang mesti diselesaikan segera oleh Persekutuan,” katanya.
Aksyah berkata hasil daripada komitmen berterusan Hajiji, Perdana Menteri bersetuju meluluskan peningkatan kadar pemberian khas interim kepada RM1.5 bilion mulai tahun ini, berbanding RM600 juta sebelum ini.
“Angka RM1.5 bilion ini adalah dana nyata yang akan disalurkan pada hujung Oktober ini untuk pembangunan segera rakyat Sabah, sementara formula akhir pengiraan 40 peratus terus dirundingkan secara rasmi tanpa dikompromi sedikit pun,” katanya.
Beliau yakin perjuangan MA63 kini bukan lagi sekadar isu sektoral atau retorik pilihan raya, sebaliknya telah diangkat sebagai sebahagian daripada dasar, komitmen dan naratif nasional yang wajib dihormati oleh seluruh rakyat Malaysia, sama ada di Semenanjung mahupun di Borneo.
Aksyah berkata pencapaian itu menjadi petanda baik bahawa memiliki autonomi menerusi wadah parti tempatan yang berwibawa amat kritikal dalam membawa penghormatan terhadap hak dan keistimewaan Sabah.
“Putrajaya tidak akan mendengar suara kita sekiranya kita lemah dan berpecah. Nyatanya, mengekalkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai parti pemerintah tempatan yang menjadi tonggak utama kepimpinan di Sabah adalah satu kemestian.
“Hanya acuan politik tempatan yang utuh sebegini yang mampu membawa perubahan yang lebih besar, meyakinkan, serta menjamin maruah geopolitik kita tidak lagi digadaikan,” katanya.-pr/BNN





