GUANGZHOU: Dewan Perniagaan Malaysia-China (MCCC) Sabah menggesa Kerajaan Guangzhou dan pihak berkuasa China menyelesaikan sekatan eksport durian, ikan dan sarang burung dari Sabah bagi membuka lebih banyak peluang perdagangan langsung antara kedua-dua pihak.

Presidennya, Datuk Dexter Lau, berkata langkah itu penting bagi membolehkan produk pertanian dan perikanan Sabah memasuki pasaran China tanpa melalui proses perantaraan yang menambah kos dan menjejaskan kecekapan perdagangan.

Beliau berkata, ketika ini eksport durian, ikan dan sarang burung dari Sabah masih tertakluk kepada prosedur yang memerlukan urusan melalui Kerajaan Persekutuan, termasuk penghantaran hasil perikanan ke Semenanjung Malaysia sebelum dibekalkan ke pasaran China.

Katanya, isu berkenaan sudah dibangkitkan kepada wakil China, khususnya pihak berkuasa berkaitan sektor pertanian, bagi mendapatkan penyelesaian praktikal.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan 12 wakil syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Guangzhou dan dewan perniagaan di sini, hari ini.

Dexter berkata, Kerajaan Guangzhou memberikan maklum balas positif terhadap cadangan MCCC Sabah, selain mengadakan perbincangan mendalam mengenai usaha memperluas perdagangan langsung berkenaan.

Beliau berkata, Sabah mempunyai kelebihan dari segi hubungan pengangkutan susulan kewujudan kira-kira 12 laluan penerbangan terus ke beberapa bandar di China.

Katanya, kemudahan itu bukan sahaja perlu dimanfaatkan bagi mengembangkan sektor pelancongan, malah boleh menjadi pemangkin kepada perdagangan dan pengangkutan barangan antara Sabah dengan China.

“Kita sudah mempunyai hubungan pengangkutan dan logistik yang kukuh. Mengapa tidak kita manfaatkan kemudahan ini dengan lebih baik untuk memudahkan pergerakan barangan?” katanya.

Beliau berkata, pembukaan saluran eksport yang lebih cekap akan membantu syarikat Sabah memperluas pasaran, meningkatkan jualan dan mengurangkan kos perantaraan, sekali gus memberi manfaat kepada pengguna.

Dexter berharap perbincangan itu dapat menghasilkan perkembangan konkrit dalam menyelesaikan isu sekatan eksport berkenaan, selain memperkukuh kerjasama perdagangan antara Sabah dengan China.-pr/BNN