KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri perlu melihat dan mengkaji potensi Pekan Kinarut untuk dinaik taraf menjadi Daerah Kecil, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar.
Katanya, ini disebabkan Kinarut sudah memenuhi kriteria-kriteria asas sebagai sebuah daerah kecil di pinggiran kota.
Beliau berkata, sebagai kawasan pinggir kota, kawasan pekan Kinarut dalam DUN Kawang kini mengalami transformasi pembangunan yang begitu pesat.
“Banyak bangunan-bangunan baharu, pusat komersil, perumahan dan perindustrian tumbuh dan berkembang di sekitar kawasan Kinarut, sekali gus merancakkan aktiviti ekonomi setempat.
“Begitu juga dari segi penduduk, bilangannya kian bertambah berikutan wujudnya kawasan perumahan baharu, termasuk projek perumahan PRIMA yang menempatkan ramai kakitangan kerajaan dan keluarga mereka.
“Oleh itu, sudah tiba masanya bagi kerajaan negeri melihat dan mengkaji potensi pekan Kinarut ini untuk dinaik taraf menjadi Daerah Kecil”, katanya ketika membahas Belanjawan Negeri Sabah tahun 2020 di DUN Sabah hari ini.
Ghulam mengesyorkan kepada kerajaan negeri untuk menimbang cadangan ini secara serius, kerana secara peribadi, beliau merasakan pembangunan pekan baharu Kinarut atau menaikkan tarafnya sebagai daerah kecil, boleh membawa impak ekonomi yang cukup positif dan signifikan dalam jangka masa panjang,.
“Apatah lagi kini banyak projek mega bakal mengubah landskap pembangunan kawasan ini, termasuk projek peranginan-pelancongan KK Resort City di kawasan Teluk Kinarut”, tegas nya.
Ghulam juga menggesa Kementerian Belia dan Sukan Sabah mengangkat semula cadangan membina Kompleks Sukan di Beringgis, Papar kepada Kementerian Belia dan Sukan Pusat bagi mendapatkan peruntukan.
“Seperti yang telag dirancang sebelum ini dimana tapak untuk tujuan projek berkenaan telah tersedia sekian lama”, tambahnya.
Beliau turut memohon kepada Kementerian Pembangunan Infrastruktur melalui Jabatan Kerja Raya agar mengangkat semula cadangan projek menaik taraf Jalan Lok Kawi-Pengalat-Papar yang telah disenaraikan dalam Rolling Plan (RP4) 2020 ke Kementerian Kerja Raya Malaysia.
Serentak itu katanya, Jambatan Kedua Papar yang telah disuarakan oleh pemimpin setempat atas kehendak suara akar umbi perlu menjadi keutamaan kerajaan.
“Projek ini sangat mendesak untuk dilaksanakan bagi kepentingan pengguna-pengguna jalan raya dari semua kawasan yang melaluinya”, tegasnya
Ghulam berkata, Belanjawan Sabah tahun 2020 merupakan belanjawan prihatin terhadap kepentingan rakyat.
“Kita melihat kerajaan telah berusaha sebaik mungkin untuk menunaikan janji-janji manifesto yang merangkumi bidang-bidang yang begitu luas, mencakupi segala aspek kehidupan rakyat.
“Saya cukup optimis Belanjawan Sabah 2020 akan membawa sinar harapan kepada rakyat seluruhnya. Dengan segala perubahan dan penambahbaikan yang dilaksanakan, termasuk kejayaan memperkenalkan berbagai pelan perancangan dan inisiatif-inisiatif baharu bagi memastikan pelaksanaan program pembangunan yang holistik; terselaras (well coordinated); dan terancang, saya yakin ia mampu mencapai sasaran yang objektif yang diharapkan bersama oleh kita semua.
“Daripada perancangan yang digariskan kerajaan, ekonomi Sabah diyakini terus berkembang mekar, manakala kedudukan kewangan akan bertambah kukuh”, tambahnya.-pr/BNN