KBS perlu bina Astaka Kompleks Sukan Beluran-Ronald Kiandee

0
72
RONALD ketika membahas Belanjawan 2020 peringkat Kementerian Belia dan Sukan

KOTA KINABALU: Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) perlu membina astaka untuk Kompleks Sukan Beluran, kata Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee.

Katanya, komplek sukan sedia ada yang dibina dengan kos RM5 juta, lima tahun lalu tidak lengkap tanpa mempunyai astaka.

“Sebanyak RM5 juta lagi diperlukan untuk bina astaka ini”, katanya ketika membahas Belanjawan 2020 peringkat jawatankuasa bagi KBS di Persidangan Parlimen di Kuala Lumpur, hari ini.

Ronald Kiandee berkata, kemudahan lain seperti tempat duduk, bilik mesyurat, pejabat, bilik gymnasium dan kemudahan riadah lain juga diperlukan.

Katanya, keperluan RM5 juta untuk membina astaka Kompleks Sukan Beluran tidak akan membebankan KBS kerana kementerian itu telah diperuntukkan sebanyak RM50 juta tahun depan untuk kerja-kerja baik-pulih komplek sukan.

“Saya berharap pembinaan astaka itu boleh direalisasikan oleh KBS pada tahun depan”, tegasnya.

Beliau berkata, kerajaan lalu dihargai kerana telah membina komplek sukan untuk rakyat Beluran.

“Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sudah tentu akan juga dihargai oleh penduduk Beluran kerana melengkapkan kompleks sukan yang sedia ada”, tegasnya.

Ronald Kiandee berkata, kompleks sukan yang lengkap amat diperlukan kerana ianya dapat dimanfaatkan oleh penduduk luar bandar di Beluran.

Beliau juga menarik perhatian tentang keperluan membaik pulih gelanggang-gelanggang futsal sedia ada di kawasan Beluran.-pr/BNN