KOTA KINABALU: Koperasi di Sabah mencatat sejumlah RM185, 295, 719 perolehan hasil daripada aktiviti perniagaan mereka setakat Jun 2019, kata Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Sabah, Encik Kastian Haji Dula.

Encik Kastian (dua dari kanan) menerima dokumen serah dan terima tugas daripada Encik Basuini.

Katanya daripada 11 wilayah di Sabah, koperasi di Wilayah Tawau mencatat perolehan tertinggi iaitu RM60,034,862. Wilayah itu mempunyai sejumlah 172 buah koperasi dengan anggota seramai 27,554 orang.

Beliau berkata, koperasi dalam Wilayah Pantai Barat Selatan (PBS) menduduki tangga kedua dengan perolehan perniagaan sebanyak RM57,169,820. PBS mempunyai sebanyak 342 buah koperasi dengan jumlah anggota seramai 108,980.

Menurutnya, Wilayah Sandakan menduduki tangga ketiga dengan jumlah perolehan perniagaan sebanyak RM32,344, 889 dengan sebanyak 216 buah koperasi dan jumlah anggota seramai 31,204 orang.

“Wilayah Pantai Barat Utara berada di tangga ke empat dengan jumlah perolehan sebanyak RM10,200,461. Wilayah ini mempunyai sebanyak 223 buah koperasi dengan anggota seramai 23,921 orang”, katanya.

*Beliau berkata demikian selepas majlis serah dan terima tugas jawatan Pengarah di pejabat SKM di Menara MAA, di sini pada Isnin*

Kastian dilantik sebagai Pengarah SKM Sabah yang baharu berkuatkuasa 25 November 2019. Jawatan Pengarah SKM Sabah sebelum ini disandang oleh Encik Basuini bin Ali. Beliau berpindah ke ibu pejabat SKM di Kuala Lumpur sebagai Pengarah Bahagian Pembiayaan Kredit SKM.

Encik Basuini berkhidmat selama 3 bulan 21 hari sebagai Pengarah SKM Sabah.

Kastian berkata, Wilayah Lahad Datu menduduki tangga ke 5 dengan perolehan sebanyak RM9,267,569. Wilayah itu mempunyai sebanyak 87 buah koperasi dengan seramai 13,030 anggota.

Menurutnya, darisegi pemilikan aset koperasi-koperasi di Sabah setakat 30 Jun 2019, Wilayah PBS berada pada tangga pertama dengan RM502,580,050, disamping syer dan yuran ahli sebanyak RM163,972,648.

Diikuti oleh Wilayah Sandakan di tangga kedua dengan nilai aset RM121,850,606, dan syer serta yuran ahli sebanyak RM6,440,205.

Wilayah Tawau di tangga ketiga dengan nilai aset sebanyak RM78,177,157 dan RM7,143,503 syer dan yuran ahli. Pantai Barat Utara berada di tangga keempat dengan nilai aset berjumlah RM27,153,836 dan nilai syer dan yuran sebanyak RM6,756,882.

Wilayah Lahad Datu menduduki tangga kelima dengan nilai aset sebanyak RM9,737,726 dan syer dan yuran ahli sebanyak RM2,100,519.

Kastian berkata, bilangan koperasi di Sabah setakat 30 Jun 2019 ialah sebanyak 1,565 buah dengan jumlah anggota seramai 270,852 orang berbanding 1,524 buah koperasi dengan seramai 272,059 orang ahli pada tahun 2018.

Menurutnya, jumlah aset dimiliki oleh gerakan koperasi di Sabah bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini ialah sebanyak RM764,879,099 dengan jumlah syer dan yuran ahli sebanyak RM193,249,794, berbanding nilai aset sebanyak RM890,633,468 dan jumlah syer dan yuran sebanyak RM189,761,757 setakat tahun 2018.

Beliau menjangkakan prestasi gerakan koperasi di Sabah tahun ini akan meningkat sehingga lima peratus berbanding tahun lepas.

Katanya, perkembangan ini menunjukkan koperasi mendapat tempat dalam kalangan masyarakat di Sabah.

Kastian berhadap koperasi di Sabah lebih menceburi bidang perniagaan yang berimpak tinggi seperti ar rahnu, hartanah dan perladangan.-pr/BNN

Encik Kastian (kanan) dan Encik Basuini menandatangani dokumen serah dan terima tugas Pengarah SKM di majlis itu.