Ahli peladang berang NAFAS disalah guna untuk kepentingan politik Amanah

0
612
Rosli Harun

TERENGGANU: Ahli-ahli peladang seluruh negara berang kerana pengurusan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) telah menyalahgunakan pertubuhan itu untuk kepentingan politik mereka.

Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Maras, Encik Rosli Harun berkata, ahli-ahli peladang sedar dan maklum bahawa pemimpin dan ahli Parti Amanah Negara (Amanah) telah dilantik oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) sebagai Ahli Jemaah Pengarah (AJP) di NAFAS dan Pertubuhan Peladang (PP).

Beliau berkata, ahli peladang khususnya di Johor bertambah marah apabila AJP lantikan Menteri dalam NAFAS dan PP telah menggunakan pertubuhan itu untuk membiayai kempen mereka dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.

“Justeru akibat kemarahan ahli-ahli peladang, maka telah turut menyumbang kepada kekalahan calon Pakatan Harapan (PH) dalam PRK Parlimen Tanjung Piai,baru-baru ini.

“Ahli-ahli peladang amat marah apabila duit mereka (dalam NAFAS) digunakan untuk membantu membiayai kempen semasa PRK itu.

“Ini tidak patut berlaku kerana NAFAS dan PP adalah milik ahli-ahli peladang. NAFAS bukan agensi kerajaan atau syarikat pelabur kerajaan (GLC) sebaliknya adalah milik ahli-ahli peladang secara mutlak”, katanya dalam kenyataan, hari ini.

Rosli berkata, setiap tingkah laku AJP lantikan Menteri MOA diperhatikan oleh ahli-ahli peladang seluruh negara.

Menurutnya, tindakan NAFAS membiayai bilik-bilik hotel yang digunakan oleh ahli-ahli Amanah semasa kempen PRK Tanjung Piai tidak patut berlaku.

“Mereka (pemimpin Amanah) lantikan Menteri MOA telah menggunakan NAFAS untuk kepentingan politik mereka. Tindakan tegas harus diambil terhadap mereka yang menyalahgunakan kuasa ini”, tegasnya.

Menurutnya, Pengerusi dan Pengurus Besar NAFAS didapati turut menggunakan kereta NAFAS untuk berkempen di Tanjung Piai.

“Kenapa puak lantikan Menteri MOA tanpa segan silu sanggup menggunakan duit NAFAS untuk kepentingan politik mereka. Duit NAFAS adalah milik ahli-ahli peladang, ia bukan milik Amanah atau Kerajaan”, tegasnya.-pr/BNN