KOTA KINABALU: Sabah Tea Resort terus memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pelancongan berasaskan pengalaman di Kundasang dan Ranau menerusi pelaburan serta pelancaran beberapa produk dan perkhidmatan baharu sepanjang 2026.

Inisiatif itu bertujuan menjadikan resort berkenaan sebagai pusat sehenti pelancongan yang menawarkan pengalaman lebih menyeluruh kepada pengunjung, merangkumi produk teh tempatan, penginapan, majlis perkahwinan dan aktiviti berkaitan alam semula jadi serta budaya Sabah.

Antara produk baharu yang diperkenalkan ialah siri My Sabahtea, yang dilancarkan pada Julai lalu bagi menawarkan produk teh dengan sentuhan peribadi, khususnya untuk dijadikan hadiah.

Pembungkusan produk itu direka dengan ruang khas untuk pelanggan menulis nama dan pesanan kepada penerima hadiah. Ia kini ditawarkan dalam empat perisa, iaitu Sabah Tea Classic, Hibiscus, Pandan dan Peach.

My Sabahtea dijual pada harga RM15 sekotak atau RM50 bagi pakej lengkap yang mengandungi keempat-empat perisa. Produk itu boleh didapati di kedai cenderamata Sabah Tea Resort di Ranau dan bakal dipasarkan di kedai cenderamata terpilih di Kota Kinabalu.

Selain memperkenalkan produk baharu, Sabah Tea Resort turut mengembangkan penawaran dalam sektor pelancongan perkahwinan menerusi pelancaran pakej Garden Wedding Package, susulan siapnya Garden Bungalow di resort berkenaan.

Banglo berkenaan merupakan sebuah rumah persendirian dengan enam bilik tidur yang dilengkapi taman seluas 10,000 kaki persegi, sekali gus menyediakan ruang untuk penganjuran majlis perkahwinan yang menggabungkan suasana dalam bangunan dan kawasan terbuka.

Pengurus Besar Sabah Tea Resort Sdn Bhd, Martin Kong, berkata pasaran perkahwinan destinasi mempunyai potensi besar untuk diterokai sebagai sebahagian daripada strategi mengembangkan sektor pelancongan resort itu.

“Dengan industri perkahwinan di Malaysia dianggarkan bernilai kira-kira RM7 bilion setahun serta peningkatan perkahwinan campur di Malaysia dan peringkat global, pasaran perkahwinan destinasi merupakan pendekatan pelancongan yang ingin kami terokai.

“Permintaan terhadap perkahwinan destinasi sudah wujud di Malaysia dan Sabah Tea Resort berharap dapat menjadi antara pilihan utama dalam pasaran ini,” katanya.

Satu lagi pencapaian penting Sabah Tea Resort pada 2026 ialah kerjasama dengan Kinabalu UNESCO Global Geopark.

Tanaman teh Camellia sinensis di ladang Sabah Tea tumbuh dalam kawasan banjaran pergunungan yang merupakan sebahagian daripada landskap Kinabalu UNESCO Global Geopark di daerah Ranau.

Menurut Martin, Sabah Tea Resort turut memberi penekanan terhadap pemeliharaan budaya dan kepelbagaian etnik di Sabah melalui aktiviti pelancongan yang ditawarkan, selain mengetengahkan sajian Borneo di restorannya.

“Sebagai rakan kerjasama dalam pengurusan dan promosi Kinabalu UNESCO Global Geopark, Sabah Tea bukan sahaja mewujudkan ratusan peluang pekerjaan dalam industri perladangan dan pelancongan, malah sentiasa menekankan kepentingan memelihara budaya serta kepelbagaian etnik Sabah,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Sabah Tea Resort merancang membangunkan Sabah Tea Gallery & Shops, sebuah projek baharu yang bakal menambah tarikan kepada pengunjung di resort berkenaan.

Projek itu dirancang merangkumi galeri teh, dewan serbaguna, kedai cenderamata yang menawarkan produk tempatan, butik dan kedai buku bertemakan Borneo serta ruang istirahat pengunjung.

Pembinaan Sabah Tea Gallery & Shops dijangka siap pada suku keempat 2027.

Sabah Tea ditubuhkan pada 1984 dengan tumpuan kepada perladangan teh, pembuatan dan pengeluaran produk teh sebelum mengembangkan operasinya ke dalam industri pelancongan pada 2001.

Terletak di Kampung Nalapak, Ranau, Sabah Tea Resort mengetengahkan konsep pelancongan berteraskan alam semula jadi dengan memberi perhatian kepada komuniti setempat, makanan, budaya dan persekitaran.

Melalui pelaburan serta pembangunan produk dan kemudahan baharu itu, Sabah Tea Resort berhasrat memperluas daya tarikannya kepada pelancong, di samping menyokong pertumbuhan sektor pelancongan dan ekonomi tempatan di Ranau.-BNN