SANDAKAN : Daerah Sandakan kini bukan sahaja terkenal dengan pusat pemeliharaan hidupan liar dan sungai ikonik, malah turut menyaksikan perkembangan pesat sektor agropelancongan berasaskan kelestarian alam.

Terletak di Batu 10, Jalan Sungai Batang, Lico Farmer AgroTourism muncul sebagai destinasi perintis yang menawarkan pengalaman pembelajaran serta kulinari berasaskan tumbuh-tumbuhan yang unik bagi para pelawat tempatan mahupun antarabangsa.

Lico Farmer menonjol dalam industri ini menerusi pencapaian persijilan berganda MyGAP (Amalan Pertanian Baik Malaysia) daripada Kementerian Pertanian Malaysia bagi ladang kelapa serta hasil madu lebah kelulut organik.

Menurut pemiliknya, Derynh, ladang ini dibangunkan dengan komitmen tinggi terhadap amalan pertanian mesra alam tanpa bahan kimia demi memelihara ketulenan ekosistem tempatan.

Pakej Agropelancongan Pilihan untuk Semua Lapisan Pelawat

Bagi memenuhi permintaan pelancong yang inginkan aktiviti interaktif dan bermakna, Lico Farmer memperkenalkan empat pakej pengalaman khas yang dirangka mengikut keperluan pelawat:

  • Pakej “A Little Farmer Experience” (RM 25 / seorang) Sangat sesuai untuk keluarga dan kanak-kanak, pakej selama 1 hingga 2 jam ini memberi peluang kepada pelawat meneroka persekitaran ladang secara santai sambil mempelajari asas amalan pertanian lestari.
  • Pakej “Unlock the Farm’s Secrets” (RM 100 / seorang) Lawatan berpandu selama 2 jam ini membawa pengunjung mendalami rahsia penanaman kelapa serta kehidupan lebah kelulut (Kelulut itama). Pelawat dapat melihat sendiri proses pengekstrakan produk semula jadi secara lestari.
  • Pakej Sesi Perkongsian “Coconut & Plant-Based” (RM 130 / seorang)Berlangsung selama 2 hingga 4 jam, pakej ini memberi penekanan kepada gaya hidup sihat. Ia merangkumi sesi sesi rasa (tasting session) bagi produk kebanggaan ladang seperti madu kelulut asli EFONDA dan minyak kelapa dara hasil perahan dingin (cold-pressed).
  • Pakej “Discover & Cook: From Farm to Table” (RM 450 / seorang) Pengalaman kulinari premium yang berlangsung dari jam 8:00 pagi hingga 1:00 tengah hari. Pelawat diajak memetik bahan-bahan segar secara terus dari ladang dan mempelajari seni penyediaan hidangan berasaskan tumbuhan (plant-based) bersama pakar tempatan.

Hubungan Erat Pertanian dan Alam Semulajadi

Selain kebun kelapa yang teratur, ladang ini menjadi tempat kediaman bagi lebah kelulut liar tempatan yang mencari makanan di antara pohon kelapa dan pinggir hutan hujan Borneo. Kombinasi ini menghasilkan Madu Kelulut EFONDA yang kaya dengan khasiat semula jadi.

Minyak kelapa dara keluaran ladang ini juga diproses melalui kaedah pemprosesan tradisional tanpa haba tinggi bagi memastikan pemeliharaan kelembapan dan nutrisi terbaik.

Kehadiran Lico Farmer AgroTourism memberikan dimensi baharu kepada lanskap pelancongan daerah Sandakan, menjadikannya destinasi wajib singgah bagi mereka yang menghargai kelestarian alam dan makanan sihat.BNN