KENINGAU: Belanjawan 2027 yang memperuntukkan RM18.7 bilion kepada Sabah membuktikan pembangunan negeri ini, khususnya kawasan luar bandar dan pedalaman, terus diberi perhatian dalam usaha merapatkan jurang pembangunan serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Pengerusi Sabah NET Sdn Bhd,  Datuk Azman Haji Ruslan, berkata peruntukan itu perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya bagi memastikan pembangunan dapat dirasai rakyat secara menyeluruh, termasuk masyarakat di kawasan pedalaman Keningau dan daerah sekitarnya.

Beliau berkata, peruntukan itu menunjukkan peningkatan berbanding RM17.6 bilion pada tahun ini, sekali gus menyediakan ruang untuk memperkukuh pelaksanaan projek pembangunan serta meningkatkan mutu kemudahan asas yang diperlukan rakyat.

“Bagi kawasan pedalaman Sabah, keutamaan perlu terus diberikan kepada kemudahan jalan raya, bekalan air bersih, elektrik, pendidikan dan kesihatan kerana semua ini merupakan keperluan asas yang mempengaruhi kehidupan harian serta kegiatan ekonomi masyarakat setempat,” katanya ketika mengulas Belanjawan Negara 2027.

Azman berkata, peruntukan RM3.3 bilion bagi meneruskan projek jalan raya di Sabah dan Sarawak juga penting dalam meningkatkan keterhubungan antara kawasan, memudahkan pergerakan penduduk serta melancarkan pengangkutan hasil pertanian dan produk usahawan tempatan.

Katanya, sasaran menyiapkan Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1B menjelang penghujung tahun depan, selain pelaksanaan projek jalan raya berkaitan, perlu disusuli dengan pemantauan rapi bagi memastikan kemajuan projek berjalan mengikut perancangan.

“Bagi masyarakat pedalaman, jalan raya bukan sekadar kemudahan perhubungan, tetapi turut menentukan kelancaran urusan harian, akses kepada sekolah dan pusat kesihatan serta peluang memasarkan hasil pertanian ke pasaran yang lebih luas,” katanya.

Beliau turut menyambut baik peruntukan RM350 juta bagi penyelenggaraan jalan Persekutuan di Sabah dan Sarawak yang dikhususkan kepada kontraktor tempatan kelas G1 hingga G4, kerana langkah itu berpotensi membantu mempercepat kerja pembaikan jalan di samping membuka peluang kepada perusahaan kecil tempatan.

Dalam sektor pendidikan, Azman berkata keputusan menggandakan tawaran tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada anak kelahiran Sabah dan Sarawak, membabitkan peluang kepada 4,200 pelajar setiap tahun, mampu memperluas akses pendidikan tinggi dan melahirkan lebih ramai tenaga profesional dari negeri ini.

Azman yang juga Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) P.180 Keningau berkata, peruntukan hampir RM1.3 bilion bagi menaik taraf 682 sekolah daif di Sabah dan Sarawak juga penting untuk memastikan murid, termasuk di kawasan pedalaman, dapat belajar dalam persekitaran yang lebih selamat dan kondusif.

Pada masa sama, katanya, usaha memperkukuh bekalan elektrik menerusi pemasangan sistem STATCOM di Pencawang Masuk Utama Dam Road dan Segaliud dengan kos RM204 juta, selain meneruskan projek Talian Penghantaran Southern Link, perlu dilaksanakan secara berkesan bagi meningkatkan kestabilan bekalan elektrik di Sabah.

“Pembangunan tidak seharusnya hanya diukur berdasarkan jumlah peruntukan, sebaliknya melalui hasil yang benar-benar dirasai rakyat, termasuk peningkatan mutu kemudahan asas, peluang pendidikan dan ekonomi serta akses yang lebih baik kepada perkhidmatan kerajaan,” katanya.

Azman berkata, pelaksanaan Belanjawan 2027 juga perlu mengambil kira keperluan khusus setiap daerah supaya kawasan yang masih berdepan kekurangan infrastruktur asas tidak ketinggalan daripada arus pembangunan.

Beliau turut berharap kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dapat terus diperkukuh bagi memastikan setiap peruntukan dimanfaatkan secara cekap, telus dan berkesan, khususnya untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar dan pedalaman.

Azman berkata, kejayaan pelaksanaan belanjawan itu akhirnya perlu diterjemahkan kepada manfaat nyata kepada rakyat Sabah secara keseluruhan, selaras dengan matlamat pembangunan yang lebih seimbang, inklusif dan mampan.-pr/BNN