KOTA KINABALU: Golongan warga emas antara yang hadir memanfaatkan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan secara percuma sempena Hari Kesihatan 2026 yang berlangsung di Dewan Serbaguna Damai, di sini, hari ini.

Program anjuran Persatuan Wanita Sabah dengan kerjasama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Likas itu menyaksikan kehadiran orang ramai sejak pagi bagi mendapatkan pelbagai perkhidmatan saringan kesihatan yang disediakan.

Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Likas, Glena Wong, berkata sambutan yang diterima amat menggalakkan, khususnya dalam kalangan warga emas yang semakin menyedari kepentingan pemeriksaan kesihatan secara berkala.

“Kesedaran masyarakat terhadap penjagaan kesihatan semakin meningkat. Kita gembira melihat ramai warga emas mengambil peluang mendapatkan pemeriksaan kesihatan yang disediakan secara percuma.

“Program seperti ini bukan sahaja membantu masyarakat mengetahui tahap kesihatan masing-masing, malah menggalakkan amalan pencegahan dan pengesanan awal penyakit,” katanya.

Antara perkhidmatan yang ditawarkan termasuk pemeriksaan kesihatan asas, saringan gula dan kolesterol, tekanan darah, mata, pergigian serta kesihatan wanita.

Program bertemakan ‘Sihat Bersama, Keluarga Sejahtera’ itu turut menawarkan vaksin influenza percuma kepada warga emas berumur 60 tahun ke atas.

Glena berkata, kerjasama antara Persatuan Wanita Sabah dan UPPM Likas merupakan usaha mendekatkan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat tanpa mengira latar belakang dan peringkat umur.

“Kesihatan rakyat perlu sentiasa diberi keutamaan kerana masyarakat yang sihat menjadi asas kepada pembentukan keluarga sejahtera dan komuniti yang produktif.

“Kita berharap program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan supaya lebih ramai penduduk, khususnya golongan warga emas dan keluarga berpendapatan rendah, mendapat manfaat,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur, petugas kesihatan, sukarelawan dan semua organisasi yang menjayakan program berkenaan.-pr/BNN