Belia di Tuaran perlu ceburi bidang keusahawanan-Hajiji

0
431
Hajiji menerima cenderamata daripada penganjur KUBIT 2019, Hyrol Anuar di majlis itu.-Gambar Azman Madris

TUARAN:  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menggesa rakyat, khususnya golongan  belia di Tuaran agar menceburi bidang keusahawanan sebagai kerjaya.

Katanya, bidang keusahawanan jika diusahakan dengan bersungguh-sungguh dan jujur, dapat menjadi sumber rezeki kepada golongan belia.

“Para belia di Tuaran perlu berani mencuba dan menceburi bidang keusahawanan dengan berniaga secara kecil-kecilan. Ianya boleh diusahakan sama ada secara perseorangan atau berkumpulan.

“Yang penting kita jangan rasa malu untuk berniaga, walaupun bermula dengan hanya menjual kuih pisang atau membuka gerai dan warung kecil”, katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutupan Karnival Usahawan Belia Inspirasi Tuaran (KUBIT) 2019 di Tuaran Futsal Arena, malam tadi.

Hajiji berkata, budaya dan nilai-nilai keusahawanan perlu disemai dan diterap dalam diri generasi belia, kerana keusahawanan merupakan pekerjaan yang dilakukan oleh kebanyakan orang.

Menurutnya, Kerajaan dan pihak swasta tidak dapat menyediakan peluang pekerjaan kepada semua belia di negeri ini.

“Saya menggalakkan rakyat terutama belia di Tuaran agar dapat menceburkan diri dalam apa juga bidang perniagaan, walaupun hanya secara kecil-kecilan.

“Kita lihat kaum lain seperti kaum Cina, walaupun sebahagian mereka mempunyai taraf pendidikan yang tinggi, mereka lebih minat berniaga berbanding kerja makan gaji. Ini kerana berniaga boleh memperoleh pendapatan yang tinggi berbanding dengan kerja makan gaji.

“Inilah nilai-nilai mirni yang saya mahu tanam dan terapkan dikalangan belia di  kawasan Tuaran”, tegas Hajiji.

Sempena menjelangnya Bulan Ramadhan, katanya, beliau telah berbincang dengan pihak pengurusan Tuaran Futsal Arena agar tidak mengenakan sewa yang mahal kepada peniaga-peniaga Bazar Ramadhan .

Menurutnya, dengan berniaga di Bazar Ramadhan akan dapat membantu menambah pendapatan keluarga menjelang kedatangan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Hajiji turut merakamkan terima kasih kepada penganjur KUBIT 2019, Hyrol Anuar dan rakan-rakannya kerana berjaya menganjurkan karnival selama 3 hari, khusus untuk usahawan belia.

Majlis penutupan KUBIT 2019 dimeriahkan dengan persembahan oleh artis Fairus Misran@ P.Ramlee, Lyn Tamsil The Bank, pertandingan Sulaman Idol dan cabutan tiket bertuah.-pr/BNN