KOTA KINABALU: Kementerian Komunikasi meneruskan komitmen dalam menjaga kebajikan warga media apabila tiga pengamal media di negeri ini yang berdepan masalah kesihatan dan kesukaran hidup menerima sumbangan menerusi inisiatif Tabung Kasih@HAWANA X TM hari ini.
Timbalan Menteri Komunikasi, YB Teo Nie Ching, menyempurnakan penyampaian sumbangan tersebut di Pejabat Biro Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) yang terletak di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi di sini, sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan pengamal media.
Turut hadir menyerikan majlis ialah Ketua Pegawai Eksekutif BERNAMA, YBhg. Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.
Tiga penerima yang dirai dalam lawatan kerja Timbalan Menteri berkenaan terdiri daripada:
- Kamarudin bin Abdullah (46 tahun), Penerbit Rancangan Radio Televisyen Malaysia (RTM), yang mengalami pelbagai kecederaan badan dan memerlukan rawatan fisioterapi pada bahagian belakang badan serta lutut kaki kiri akibat kemalangan jalan raya semasa dalam perjalanan pulang dari kerja.
- Floris Philip (54 tahun), Penerbit Rancangan RTM, yang kini menghidap masalah kesihatan jantung.
- Mohammed Fairuz bin Mohammed Yazzer (35 tahun), Eksekutif Jurukamera Media Prima, yang berdepan masalah slip disc pada bahagian tulang leher sehingga menyukarkan pergerakan beliau sewaktu melaksanakan tugas.
Tabung Kasih@HAWANA X TM merupakan peluasan inisiatif Tabung Kasih@HAWANA melalui sumbangan dana tanggungjawab sosial korporat (CSR) Telekom Malaysia (TM) untuk membantu lebih ramai pengamal media yang memerlukan sokongan.
Perkembangan positif itu menyaksikan seramai 94 pengamal media di seluruh negara telah menerima manfaat menerusi kerjasama berkenaan sejak ia mula disalurkan pada Jun 2026.
Secara keseluruhan, sejak Tabung Kasih@HAWANA diperkenalkan pada April 2023 di bawah teraju Kementerian Komunikasi dan pelaksanaan BERNAMA, seramai 864 pengamal media di seluruh negara telah berjaya santuni.-BNN





