Yahya terima kunjungan AJK PNM Putatan

0
162
-Pix LSK
-Pix LSK

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Yahya Hussin (bersongkok) telah menerima kunjungan hormat daripada Ahli Jawatankuasa (AJK) Perpustakaan Desa (Perpustakaan Negara Malaysia (PNM)) Zon 18 Petagas di pejabatnya di Wisma Pertanian Sabah, Kota Kinabalu.

 Kunjungan itu diketuai oleh Pengerusi AJK tersebut, Encik Mohd.Tahir Mohd.Soon dan Timbalan Pengerusi 1, Puan Hajah Nanih@Nancy Wong.

 Mohd.Tahir dalam taklimatnya kepada Yahya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas berkata, AJK itu ditubuhkan atas arahan PNM bagi membantu mengeratkan lagi hubungan silatulrahim dikalangan mereka dengan masyarakat setempat selain menjalin kerjasama dengan jabatan dan agensi di daerah Putatan.

 Sementara itu Yahya berkata, AJK Perpustakaan Desa (PNM) Zon Petagas yang terdiri daripada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) pembantu pustakawan, guru Tadika KEMAS, guru pusat sumber sekolah-sekolah memainkan peranan penting mengharmonikan hubungan bersama masyarakat setempat.

 Beliau juga meminta penolong pustakawan agar kreatif dan inovatif menganjurkan program dan aktiviti yang dapat menarik orang kampung khususnya kanak-kanak ke perpustakaan desa.

 “Membaca buku di perpustakaan merupakan sumber mendapatkan ilmu dan pengetahuan yang amat berguna kepada murid-murid sekolah dan juga orang dewasa”, tegasnya.

 Yahya yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan Negeri berharap AJK Perpustakaan Desa (PNM) Zon 18 Petagas akan memainkan peranan berkesan menceriakan Perpustakaan Desa masing-masing selain meningkatkan interaksi bersama masyarakat kampung.-pr/BNN