Usahawan muda perlu membuka minda-Jainab

0
104
Kenangan...Jainab bersama Wanita UMNO di hadapan bengkel perusahaan pemprosesan makanan ringan di Kampung Cenderawasih, Kunak semalam.

TAWAU: Sifat semulajadi kaum wanita yang kreatif, berdaya saing dan mampu menerima cabaran, memberi kelebihan kepada mereka untuk bertahan dalam dunia perniagaan.

Ketua Wanita UMNO Sabah, Datuk Jainab Ahmad berkata, ia terbukti apabila ramai usahawan wanita di negara ini berjaya mengukuhkan perniagaan mereka setanding golongan lelaki.

”Sekarang, usahawan wanita tempatan yang terdiri daripada suri rumah dan ibu tunggal mula mendominasi bidang perniagaan khususnya secara kecil-kecilan seperti kraftangan tradisional dan makanan.

”Ia merupakan perkembangan positif dan kerajaan berharap usahawan wanita di negeri ini akan terus berusaha mengembangkan perniagaan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa siri Jelajah Siri Jelajah Wanita UMNO Negeri Sabah di Zon 5 dan 6 di Kunak semalam.

Dalam pada itu, Jainab berkata, usahawan wanita perlu membuka minda agar lebih peka dengan teknologi terkini dan moden dalam bidang perusahaan dan pemakanan.

“Saya juga menggesa agar para usahawan memanfaatkan teknologi terkini untuk memajukan lagi bidang keusahawanan yang diceburi.

“Adalah tidak mustahil sekiranya teknologi ini dikuasai sepenuhnya, ia bukan sahaja menjimatkan masa, tenaga dan wang bahkan berupaya melipatgandakan keuntungan dan mengembangkan lagi perniagaan,” katanya.

Tambah beliau, produk yang bermutu tinggi akan menjamin sesuatu produk itu dapat diterima di pasaran domestik dan berpotensi untuk pasaran antarabangsa.

Di samping itu, katanya penjenamaan produk serta kemahiran menghidu peluang dan membentuk rangkaian pemasaran melalui Internet juga harus dimanfaatkan oleh usahawan wanita.

Jelas beliau usahawan wanita perlu mempelbagaikan perniagaan dengan mewujudkan satu jaringan bagi memudahkan perniagaan mereka berjalan dengan lancar, senang dan teratur,” jelasnya.

Tegas beliau lagi tidak dinafikan bahawa sememangnya golongan wanita terus memberi sumbangan besar ke arah pembangunan sosio ekonomi negara. Golongan wanita pada masa kini memiliki tahap pendidikan yang tinggi dan telah mempertingkatkan penyertaan mereka dalam tenaga buruh serta melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti keusahawanan dan perniagaan

Dalam siri jelajah itu, rombongan itu turut melawat industri kecil dan sederhanan (IKS) iaitu produk-produk usahawan yang diusahakan oleh wanita, wanita umno di peringkat bahagian, bengkel IT untuk pemimpin tertinggi wanita bahagian. Selain beramah mesra dengan kepimpinan pemimpin wanita negeri dengan pemimpin peringkat bahagian di Zon 5 dan Zon 6.

Turut serta dalam siri jelajah itu Naib Ketua Wanita UMNO Sabah, Juriah Palasin, Penolong Setiausaha Aminah Johan, Ketua Penerangan Datuk Redonah Bahanda dan Bendahari Wanita UMNO Sabah, Mizmah Appedullah.-pr/BNN