KOTA KINABALU: The LUMA Hotel mengukuhkan kedudukannya dalam industri hospitaliti Sabah apabila dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan kategori Profesional Hotel 2, 3 dan 4 Bintang, selain meraih gelaran Juara kategori Profesional Hotel 3 dan 4 Bintang pada Sabah Hospitality Fiesta (SHF) 2026.
Fiesta yang berlangsung pada 20 hingga 22 November lalu itu menghimpunkan penggiat industri hospitaliti dari seluruh negeri bagi mengetengahkan kecemerlangan, kemahiran teknikal serta kecekapan dalam penyampaian perkhidmatan.
The LUMA Hotel mencatat prestasi cemerlang dalam beberapa pertandingan utama, termasuk Housekeeping Bed Making Challenge yang menyaksikan pasukannya meraih satu pingat emas, satu perak dan satu gangsa, manakala pertandingan Concierge Race pula menyumbang satu pingat emas dan satu perak.
Pengurus Besarnya, Gordon Montoya Seet, berkata kejayaan itu merupakan hasil komitmen, disiplin serta dedikasi seluruh pasukan dalam memastikan setiap tetamu menikmati pengalaman penginapan yang berkualiti.
Beliau berkata pihak hotel amat bersyukur dan bangga dengan pencapaian sebagai juara kategori hotel tiga dan empat bintang, selain juara keseluruhan bagi kategori hotel dua hingga empat bintang.
Menurutnya, kejayaan kakitangan dalam setiap pertandingan mencerminkan ketelitian serta kesungguhan mereka dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada tetamu.
“Ini merupakan satu pencapaian penting buat The LUMA Hotel dan sesuatu yang boleh dibanggakan oleh semua kakitangan. Saya ingin merakamkan penghargaan khusus kepada seluruh pasukan kerana usaha gigih dan dedikasi mereka menjadi kunci kepada kejayaan meraih kejuaraan keseluruhan ini,” katanya.
Kejayaan pada SHF 2026 itu melengkapkan tahun cemerlang The LUMA Hotel yang berjaya meraih 15 pengiktirafan sepanjang 2026, antaranya Iconic Hotel Design Award menerusi HAPA Awards 2026 Series, Best Boutique Hotel (Malaysia) pada Haute Grandeur Global Awards, Best Luxury Design Boutique Hotel (Malaysia) pada World Luxury Hotel Awards serta Best Luxury 4-Star Hotel in Southeast Asia (Regional) pada Luxe Global Hotel Awards.
Gordon berkata kejayaan itu turut meningkatkan semangat seluruh pasukan untuk terus mengekalkan standard kecemerlangan serta bersedia menyambut peningkatan kedatangan pelancong sempena Visit Sabah Year 2027.
Beliau berkata pihak hotel bertekad untuk terus memperkukuh mutu perkhidmatan dan menyambut lebih ramai pelancong dari seluruh dunia pada tahun hadapan.
Terletak di tengah-tengah Kota Kinabalu, The LUMA Hotel merupakan hotel butik berkonsepkan reka bentuk kontemporari yang diinspirasikan daripada kekayaan hutan hujan Sabah serta budaya Borneo, dengan menggabungkan kemewahan moden, seni reka kreatif dan layanan mesra masyarakat Sabah untuk memenuhi keperluan pelancong perniagaan serta percutian.-BNN





