Pemutihan keanggotaan harus diadakan-Hazulizah

Kenangan..Puteri Umno Batu Sapi merakam gambar kenangan betsama Zantapha, Fadilah dan Hazulizah di Hotel Sandakan semalam.

0

KOTA KINABALU: Anggota Pergerakan Puteri UMNO di peringkat bahagian diminta melakukan operasi pemutihan bagi ‘membersihkan’ keanggotaan parti dalam usaha mengembalikan kekuatan dan perpaduan yang ada.

Naib Ketua Puteri Umno Sabah, Hazulizah Md Dani berkata, keahlian Puteri Umno dilihat penting selepas kekalahan UMNO pada pilihan raya umum lalu kerana pengundi muda ini adalah berperanan penting dalam perubahan landskap politik Malaysia dan Sabah khususnya.

Beliau mahu Puteri Umno di peringkat cawangan-cawangan dan bahagian-bahagian membuat pemutihan semula keahlian bagi membolehkan membersihkan keanggotaan dalam parti.

“Selepas tewas dan bertaraf pembangkang di Sabah dan di Persekutuan, kita mahu mereka yang tinggal benar-benar ikhlas dan komited dengan perjuangan UMNO. Oleh itu, kita mahu melihat senarai keahlian baharu mereka yang masih setia dengan parti,” katanya.

Tambah beliau, UMNO dan Puteri Umno perlu menyusun semula gerak kerja dan perjuangan bagi membela nasib rakyat dan semua itu sukar dilaksanakan jika masih mempunyai ahli parti yang dikhuatiri bertindak seperti ‘duri dalam daging’ dan ‘api dalam sekam’.

Beliau berkata demikian semasa majlis Jelajah Ukhwah Puteri Umno Sabah di Zon 5 Sandakan semalam.

Untuk pemutihan keahlian Puteri Umno, Ketua Puteri Umno Sabah mempertanggungjawabkan tugasan tersebut kepada semua Naib-naib Ketua Puteri Umno bahagian mengendalikan pemutihan tersebut.

Di Zon 5 empat bahagian telah di jelajah iaitu Puteri Umno bahagian Batu Sapi diikuti Puteri Umno Sandakan, Puteri Umno Kinabatangan dan Puteri Umno Libaran.

Hadir sama dalam Jelajah Puteri Umno Zon 5 adalah Ketua Puteri Umno Sabah, Fadilah Sarbi.(Sepanggar), Ketua Penerangan Noorazmahirah Noorzain (Tuaran), Ketua Puteri Umno Kudat Norlizah Gurahman, Ketua Puteri Umno Sandakan Shaninah Sani, Ketua Puteri Umno Libaran Nur Sabrina Sukardi dan Ketua Puteri Umno Kinabatangan Norhamiza Tinih serta ahli-ahli jawatankuasa Puteri Umno bahagian.

Katanya, UMNO tidak lagi boleh mengharapkan rekod tiga juta ahli yang ada sekarang ini, kerana keputusan pilihan raya lalu telah mengubah senario semasa dengan ramai yang beralih kepada parti lain.

Menurut Hazulizah yang juga Ketua Puteri Umno Batu Sapi menambah
UMNO hari ini tidak lagi boleh bergantung kepada kuantiti tetapi kita mahu ahli-ahli yang benar-benar berkualiti dalam meneruskan perjuangan serta matlamat parti.

Beliau berkata, bagi mencapai hasrat itu, UMNO juga perlu mempermudahkan cara mendaftar dan menyemak keahlian selain membolehkan urusan berkenaan dibuat dan dikendalikan di peringkat bahagian serta dipantau di peringkat pusat.

Selain itu, beliau meminta Pergerakan Puteri agar terus menggiatkan usaha mendekati golongan muda bagi menarik mereka menyertai aktiviti parti.

“Saya mahu cara dan strategi Puteri UMNO mendekati anak muda diubah selain mengadakan program memperkasa jati diri UMNO dalam kalangan anak muda.

“Kita perlu dekati anak muda yang tersalah langkah dengan mengundi parti lain pada pilihan raya lalu.

“Tarik mereka masuk semula ke dalam UMNO dengan cara terbaik dan bukannya dengan memaki atau ‘troll’ mereka,” tegas beliau.

Hazulizah berkata, UMNO harus memberi peluang kepada golongan muda ini memainkan peranan dalam parti supaya mereka tidak berasa jauh atau diketepikan dalam menjaga kepentingan bersama.-pr/BÑN