KOTA KINABALU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Negeri Sabah berharap pucuk pimpinan Pakatan Harapan (PH) Pusat dapat menimbang meletak calon BERSATU bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis yang bakal diadakan.
Setiausaha Badan Pimpinan BERSATU Sabah, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, kepimpinan PH perlu menimbang dan memberi peluang kepada BERSATU bertanding di kerusi itu.
Beliau berkata, Kimanis merupakan antara bahagian BERSATU yang paling aktif di Sabah, dengan pelbagai program “outreach” telah dilaksanakan oleh kepimpinan bahagian itu sejak BERSATU bertapak di Sabah.
Menurutnya, penghijrahan beramai-ramai pemimpin dan ahli-ahli parti lawan ke BERSATU, menjadikan Kimanis kubu kuat BERSATU di Sabah.
“BERSATU kini merupakan antara parti komponen PH yang terbesar di Sabah. Dari segi bilangan wakil rakyat, BERSATU adalah kedua terbanyak di Sabah selepas Warisan.”
“Bagi memperlihatkan kekuatan BERSATU di negeri ini khususnya di kawasan Parlimen Kimanis, pucuk pimpinan PH harus memberi peluang kepada BERSATU bertanding di kerusi Kimanis dalam PRK kali ini”, katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ronald berkata, Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor juga telah menzahirkan hasrat dan keputusan badan itu kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang juga pengerusi BERSATU dalam pertemuan mereka, baru-baru ini.
Bagaimanapun katanya, BERSATU Sabah tetap akan akur dengan sebarang keputusan yang bakal dibuat oleh kepimpinan PH Pusat.
“Siapa juga calon yang diputuskan oleh pucuk pimpinan PH untuk bertanding di PRK Parlimen Kimanis, kita akan akur dan sokong”, kata Ronald yang juga Ahli Parlimen Beluran
Mahkamah Persekutuan, baru-baru ini mengekalkan penghakiman Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu membatalkan kemenangan Datuk Seri Anifah Aman di kerusi Parlimen Kimanis dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Sementara itu, Ketua BERSATU Bahagian Kimanis, Datuk Haji Mohd.Arifin Mohd.Arif berkata, bahagian itu telah bersedia dan akan memikul amanah sehabis baik, jika diberikan peluang.
“BERSATU Kimanis juga akan menyokong dan memberi kerjasama yang sepenuhnya kepada mana-mana parti dari PH yang dipilih bertanding dalam PRK Parlimen Kimanis.
“Kita juga akan akur dengan siapa saja calon yang dipilih oleh kepimpinan PH Pusat”, tegas Mohd.Arifin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut.-pr/BNN