PRK Parlimen Kimanis BERSATU Sabah akan pastikan kemenangkan calon Warisan

0
2200
Hajiji diiringi oleh Arsit disambut oleh ahli-ahli parti setibanya di majlis itu

KOTA KINABALU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Negeri Sabah akan membantu dan memastikan kemenangan calon Parti Warisan Sabah (Warisan) yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis.

Ketua Badan Pimpinan BERSATU Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, parti itu telah menubuh dan membentuk jentera pilihanraya bagi menghadapi PRK Parlimen Kimanis.

Katanya, jentera pilihan raya  BERSATU Bahagian Kimanis telah diaktifkan, dan setakat ini beberapa program telah dijalankan untuk menawan hati rakyat, termasuk aktiviti yang telah digerakkan oleh Srikandi dan Armada BERSATU Bahagian.

“BERSATU Sabah komited dan akan memastikan kemenangan calon Warisan yang akan bertanding pada PRK itu.

Hajiji (sembilan dari kiri) bersama Arsit (11 dari kiri) Mohd. Arifin (lapan dari kanan) serta pemimpin dan ahli-ahli BERSATU Bahagian Putatan pada program jelajah itu.

“BERSATU sebagai parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH) dan juga parti yang mesra dengan Kerajaan Negeri pimpinan Warisan, kita akan memastikan kemenangan menyebelahi calon Warisan.

“Adalah menjadi tugas dan tanggungjawab kita (BERSATU) Sabah bukan sahaja membantu kempen malah memastikan kemenangan calon Warisan dalam PRK Parlimen Kimanis”, katanya.

Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman berkata demikian pada Program Jelajah Pimpinan BERSATU Sabah Bahagian Putatan di Dewan Terbuka Haji Arsit dan Hajah Hapsah, Bakut View,  Kampung  Sendil, hari ini.

Katanya, Kerajaan Negeri dibawah pimpinan Warisan perlu disokong dan didokong demi kestabilan politik di negeri Sabah.

Menurutnya, dengan keadaan politik negeri dan negara yang stabil, maka Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan dapat melaksanakan program-program pembangunan untuk faedah rakyat.

Beliau berkata, pelbagai dasar baru dan juga program pembangunan telah dirancang oleh  Kerajaan selepas pilihan raya umum, yang memerlukan masa untuk direalisasikan demi kemakmuran dan kesejahteraan rakyat dan  negara.

“Ini adalah pendirian BERSATU yang mahu Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030), iltizam Kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang terus membangun secara mampan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif pada semua peringkat kumpulan pendapatan, etnik dan wilayah.

“Iltizam Kerajaan PH ini harus rakyat sokong, dokong dan diteruskan demi mengukuhkan kestabilan politik dan meningkatkan kemakmuran negara.

“WKB 2030 sebagai hala tuju Negara bagi tempoh 2021-2030, juga akan memastikan rakyat bersatu padu tanpa prasangka dengan meraikan kepelbagaian bangsa dan budaya sebagai asas penyatuan negara bangsa”, tegasnya.

Hajiji berkata, Kerajaan Negeri pimpinan Warisan perlu memberi tumpuan dan perhatian kepada pembangunan negeri Sabah serta meningkatkan taraf hidup rakyat.

“Kita perlu memberi peluang kepada Kerajaan Warisan untuk melaksanakan projek-projek pembangunan yang telah dirancang untuk kesejahteraan rakyat negeri ini”, tambahnya.

Turut hadir ialah Ketua Penerangan BERSATU Sabah, Encik Khairul Firdaus Akbar Khan, Bendahari BERSATU Negeri, Datuk Haji Mohd.Arifin Mohd.Arif, Ketua BERSATU Bahagian Putatan, Datuk Seri Dr. Haji Arsit Haji Sedi, Ketua Armada BERSATU Negeri, Encik Mohd. Isquzawan Israq Arsit dan Timbalan Ketua Srikandi BERSATU Sabah, Datuk Amisah Yassin.-pr/BNN