KOTA KINABALU: Parti Amanah Negara (AMANAH) telah menghulurkan sumbangan berapa wang tunai kepada mangsa kebakaran Kg.Sembulan Baru di Dewan Masyarakat Sembulan, Kota Kinabalu pada Ahad.
Sumbangan itu telah disampaikan oleh Timbalan Ketua Wanita Amanah Sabah (AWAN) Puan Norfidah @ Fie Yassin dan Ahli Jawatankuasa Pemuda (JKP) Amanah Nasional, Encik Khairuddin Daud yang juga Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).
Norfidah yang juga Ketua Penyelaras Amanah Kawasan Papar berkata, sumbangan itu diharap dapat membantu mengurangkan beban keluarga mangsa kebakaran.
“Amanah sebagai parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH) terpanggil membantu mangsa kebakaran kerana kita insaf dan sedar mereka memerlukan bantuan”, katanya.
Dalam kejadian kebakaran kira-kira jam 11.30 malam Jumaat lalu, sebanyak empat buah rumah musnah dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan apabila semua penghuni sempat melarikan diri ketika api sedang marak.
Tindakan pantas dan kecekapan anggota bomba berjaya mengekang api daripada memusnahkan lebih banyak rumah dalam kebakaran di Lorong 12, Kampung Sembulan Baru.-pr/BNN