Bakal mahasiswa jangan sia-siakan peluang tuntut ilmu

0
108
Matbali (barisan hadapan, lima dari kanan) bersama tetamu jemputa (duduk) bergambar bersama bakal mahasiswa dari kawasan Lumadan di majlis itu.

BEAUFORT: Bakal mahasiswa diingatkan agar tidak mensia-siakan peluang menuntut ilmu di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) negara ini.

Matbali menyampaikan sumbangan kepada bakal mahasiswa IPTA di majlis itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Encik Matbali Haji Musah berkata bakal mahasiswa perlu merebut peluang keemasan itu untuk menuntut ilmu setinggi yang termampu oleh mereka.

“Menuntut ilmu dan pendidikan tiada noktahnya. Dan tidak semua orang diberikan peluang dan kesempatan untuk melangkah ke menara gading. Justeru jangan mensia-siakan peluang keemasan yang diberikan”, katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Santai Pelajar ke IPTA bersama Matbali yang diadakan di perkarangan Ainley Car Wash, Kampung Lumatai, semalam.

Seramai 62 bakal mahasiswa terdiri daripada anak tempatan kawasan Lumadan diraikan di majlis itu. 12 orang daripada mereka akan mengikuti pengajian peringkat diploma dan bakinya 50 orang akan mengikuti pengajian peringkat ijazah.

Mereka turut menerima sumbangan peribadi daripada Matbali dan juga Ahli Parlimen Sipitang, Haji Yamani Hafez Musa bagi membantu meringankan sedikit bebanan keluarga mereka.

Salah seorang bakal mahasiswa menerima sumbangan daripada Matbali di majlis itu.

Turur hadir di majlis itu ialah Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Tuan Haji  Roslan Haji Muharam, Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Sipitang, Cik Suzi Hamat, Naib Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Sipitang, Hajah Muilin,Pengerusi Penganjur, Haji  Tajudin Haji Asari, ahli-ahli jawatankuasa (ajk) UMNO Bahagian Sipitang, ajk sayap-sayap pergerakan, bakal mahasiswa dan ibu bapa mereka.

Matbali berkata, bakal mahasiswa juga perlu mengenang jasa dan pengorbanan ibu bapa yang telah membesar dan mendidik mereka sehingga berjaya ke menara gading.

“Bakal mahasiswa merupakan kebanggaan ibu bapa selain selaku pemimpin pelapis negara di masa akan datang.

“Jangan hampakan harapan ibu bapa dan juga masyarakat. Belajar  bersungguh-sungguh sehingga berjaya membawa balik ijazah”, tegasnya.

Katanya, kejayaan anak dalam pendidikan merupakan lambang dan kebanggaan sesebuah keluarga.

Justeru katanya, ibu bapa tidak wajar meminggirkan aspek pendidikan anak-anak mereka.-Oleh LSK/BNN